StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Thursday, January 31, 2002 7:58 PM

Disebalik Tabir Pelajar Islam


Gerakan pelajar Islam di IPT tempatan memang condong kepada parti-parti pembangkang. Mereka turun berkempen dalam pilihanraya umum. Mereka menyertai perhimpunan aman reformasi di Kuala Lumpur. Mereka mengadakan perbincangan mingguan untuk mendalami agama Islam dan isu-isu semasa. Mereka menonjol di akhbar-akhbar.
Pemimpin kerajaan sering menganggap pelajar ini
pro-PAS atau berjaya dipengaruhi oleh PAS.

Tetapi sebenarnya, ahli dan aktivis pelajar Islam di
IPT tempatan, khususnya milik kerajaan, tidak melebihi
15 peratus jumlah keseluruhan pelajar. Angka 15
peratus ini adalah hasil gabungan tiga organisasi
utama yang mempengaruhi pelajar Islam JIM, PAS dan ABIM. JIM merupakan gerakan belia seperti ABIM tetapi mempunyai pengaruh besar di luar negara. Ahli-ahlinya juga di kalangan profesional dan pegawai tinggi
kerajaan.

Selain pelajar bukan Bumiputera yang masuk IPT melalui sistem kuota, 85 peratus lagi pelajar Melayu-Islam tidak menyertai aktiviti pelajar ini. Kenapa?

Pertama, pergaulan mereka tidak meluas. Mereka bergaul di kalangan rakan-rakan gerakan mereka sendiri. Remaja dan anak muda kampus ini "takut" pergaulan yang meluas akan merosakkan peribadi baik mereka. Mereka bergaul tetapi tidak erat dan mesra. Tidak pelik kalau mereka ke dewan kuliah, ke perpustakaan, ke kedai makan dan tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan dalam gerakan ini tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam yang lain.

Kedua, jenis-jenis aktiviti mereka bersifat serius,
memerlukan komitmen yang tinggi dan tidak berunsurkan hiburan moden (misalnya lagu atau konsert pop). Aktiviti seperti ini tidak menarik perhatian ramai pelajar Islam kerana jiwa remaja selalunya gemarkan hiburan dan keseronokan. Aktiviti serius mereka termasuklah meningkatkan amalan agama (seperti membaca Al-Quran, sembahyang di waktu tengah malam, berpuasa tambahan selain bulan Ramadhan), perbincangan mingguan, seminar dan latihan fizikal yang lasak.

Ketiga, mereka mengutamakan isu-isu serius di luar
kampus sedangkan pelajar IPT umumnya berminat belajar sahaja. Anak muda kampus selalunya cetek pengetahuan tentang isu-isu politik semasa kerana sibuk dengan tugasan akademik. Tetapi ahli-ahli gerakan pelajar Islam menambahkan pengetahuan selain tugasan akademik melalui akhbar, kuliah, dan aktiviti di luar kampus.

Walaupun bilangan aktivis pelajar Islam kecil tetapi
pengaruh mereka di kampus sangat besar. Pengaruh
mereka datang melalui jawatan-jawatan yang dipegang
dalam Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) dipilih
melalui pilihanraya kampus setiap tahun dan
Persatuan Mahasiswa Islam (PMI). Semua persatuan lain berada di bawah PMU. Oleh itu, apabila mereka
menguasai PMU, maka mudahlah mereka menguasai
persatuan-persatuan lain, termasuklah jawatankuasa
kolej-kolej kediaman. Jika mereka kalah pilihanraya
kampus dan akibatnya gagal memimpin PMU, aktivis
pelajar Islam masih mempunyai PMI hanya disertai
semua pelajar Islam secara automatik.

Melalui PMI dan PMU, gerakan pelajar Islam menguasai
program-program utama untuk pelajar IPT. Oleh itu,
idea dan saranan mereka tersebar dengan meluas. Mereka akan menjemput penceramah dan pembentang kertas kerja dari aliran mereka. Oleh kerana penceramah selalunya terkenal (crowd-puller), maka ramai pelajar walaupun tidak menyertai gerakan ini hadir untuk mendengar ceramah, forum dan seminar.

Di sinilah bermulanya hubungan tidak rasmi antara
aktivis-aktivis pelajar Islam dengan pemimpin JIM,
ABIM dan PAS. Hubungan ini mendedahkan mereka kepada gerakan politik di luar kampus dan mempercepatkan kesedaran dan kematangan politik mereka. Oleh itu, apabila suasana politik di luar kampus bergolak, misalnya isu pemecatan Anwar Ibrahim pada 2 September 1998, aktivis-aktivis kampus segera tampil sebagai kumpulan pendesak (pressure group) yang lantang dan berani.

Bagaimanapun, kerajaan dan Umno menyedari kekuatan gerakan pelajar Islam ini. Mereka mula mengadakan sekatan-sekatan. Sejak hampir 15 tahun lalu, ramai tokoh-tokoh pembangkang tidak dibenarkan menyampaikan ceramah di dalam kampus. Pihak pentadbiran atau Hal Ehwal Pelajar (HEP) akan menapis nama-nama penceramah dan jenis-jenis program anjuran pelajar Islam. Malah, kini sudah menjadi kebiasaan, HEP tidak lagi memberikan sebarang bantuan kewangan untuk menjayakan
seminar, kursus dan bahan penerbitan pelajar Islam.

Sikap HEP ini sebenarnya merugikan bakat-bakat muda
yang bakal memimpin negara kita di masa depan. Sikap
ini juga tidak sesuai dengan kebebasan akademik --
sepatutnya kampus dijadikan tempat berbincang
berbagai-bagai idea. Tetapi semua IPT awam berada di
bawah pengaruh langsung Menteri Pendidikan,
termasuklah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Menteri Pendidikan selalunya pemimpin Umno dan untuk menunjukkan kesetiannya kepada Umno, menteri sentiasa menindas HEP agar mengawasi gerakan pelajar.

Namun begitu, pelajar Islam selalunya menjadi lebih
kreatif. Dalam ruang yang terhad itu, mereka
menggunakan pelbagai cara yang tidak dapat dikesan
oleh HEP. Misalnya, mereka beramai-ramai mengadakan seminar di luar kampus. Di luar kampus, pengaruh HEP sudah tidak ada. Jika program itu diadakan di kampus, nama program dan penceramah ditukarkan dengan sesuatu yang tidak mencurigakan HEP. Akhirnya program-program pelajar Islam terus berjalan lancar. Malah, tekanan HEP itu mendorong pelajar Islam menyokong pembangkang dengan lebih kuat sebab mereka fikir mereka "ditindas"
oleh kerajaan.

Sebab itulah, walaupun lebih 20 tahun, Umno gagal
menguasai jiwa pelajar Melayu. Sebaliknya, pelajar
Melayu-Islam menyokong pembangkang dan menentang kerajaan.

---------------------------------------------------

Fathi Aris Omar bertugas sepenuh masa di sebuah akhbar harian dalam talian, malaysiakini.com, selain menulis setiap minggu dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau. Artikel ini diterbitkan dalam
akhbar Nanyang pada Februari lalu.


Halaman Utama

 

Oleh:

Fathi Aris Omar

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved