StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, February 8, 2002

Memo Mahfuz kepada Presiden SRC UIAM


Kepada;

YB Senator Tan Sri Musa Mohamed
Menteri Pendidikan Malaysia,
Kementerian Pendidikan Malaysia,
KUALA LUMPUR.
8 JANUARI 2002

YB Tan Sri,

MEMORANDUM MEMBANTAH PEMECATAN JAWATAN PRESIDEN SRC UIAM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah keras tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memecat Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM (SRC UIAM) daripada jawatan tersebut atas alasan yang sangat rapuh iaitu membuat kenyataan kepada media. DPP Pusat melihat tindakan ini lebih berunsur politik daripada suatu tindakan kerana melanggar Akta Universiti dan Kolej universiti (AUKU).

Bagi DPP Pusat, kenyataan media Sdr Dasuki Abdul Wahab yang disiarkan oleh media massa tidak wajar disabitkan dengan AUKU kerana ia tidak menjejaskan nama baik universiti, rector atau mana-mana pihak berkaitan universiti tersebut. Sebaliknya kenyataan itu dibuat untuk menyokong dasar kerajaan yang mahukan mahasiswa bebas daripada ganguan politik kepartian. Bukankah AUKU sendiri melarang mahasiswa terlibat dengan parti politik, jadi mengapa dikenakan tindakan terhadap Sdr Dasuki Abdul Wahab yang membantah aktiviti Puteri Umno yang cuba mempengaruhi mahasiswa di kampus.

DPP Pusat berpandangan bahawa sewajarnya Kerajaan BN mengenakan tindakan terhadap Umno kerana membiarkan sayap puterinya melanggarkan AUKU dengan menyebarkan pengaruhnya di kalangan mahasiswa. Sebaliknya, UIAM mengenakan tindakan terhadap pelajar yang membantah kegiatan haram Puteri Umno. Adakah Kerajaan BN mengamalkan kronisme dan pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang?

DPP Pusat merasakan bahawa Kerajaan BN sewajarnya membenarkan mahasiswa terlibat dengan parti politik dan membenarkan mereka membuat sebarang kenyataan berkenaan dengan kepentingan mahasiswa dan rakyat. Jika Umno dibenarkan masuk kampus, mengapa parti lain didiskriminasi oleh kementerian. Sedangkan kementerian sendiri sepatutnya meminda AUKU bagi membolehkan mahasiswa dan ahli akademik mempertajamkan ilmu mereka dengan kebebasan berpolitik.

DPP Pusat juga melihat bahawa Kementerian Pendidikan sepatutnya memfokuskan tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan beberapa masalah asas yang berbangkit dalam perkembangan isu pendidikan hari ini seperti isu makmal komputer, rumah guru, tambang bas sekolah, pengasingan pelajar mengikut kaum dan sebagainya. Sebaliknya Kementerian Pendidikan seolah-olah diperkudakan oleh BN untuk mengganggu mahasiswa dan warga universiti yang lain sehingga memangsakan beberapa mahasiswa dan pensyarah.

DPP Pusat juga mendesak Kementerian Pendidikan supaya mengkaji semula AUKU untuk memberikan hak kepada mahasiswa bersuara tentang nasib dan masa depan mereka. Sebarang peruntukan yang menghalang kebebasan mahasiswa mesti dihapuskan supaya tidak ada lagi mahasiswa yang menjadi mangsa seperti Dasuki Abdul Wahab.

DPP Pusat juga mendesak agar kementerian campur tangan dalam isu UIAM ini dengan mengkaji semula pemecatan Sdr Dasuki Abdul Wahab kerana ia bercanggah dengan hak beliau sebagai pemimpin mahasiswa. Sebaliknya kementerian hendaklah menghalang pilihanraya kecil yang akan diadakan seterusnya mengekalkan Dasuki sebagai Presiden SRC UIAM.

Sekian, terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved