StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Friday, March 15, 2002 11:43 PM

Kenyataan akhbar PERMAYA berkenaan isu penangkapan pelajar


PENJELASAN ISU PENANGKAPAN PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI YAMAN

Kami bagi pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) merasa terpanggil untuk membuat penjelasan berkenaan isu penangkapan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran, Taiz dan juga penangkapan mereka yang pulang dari menunaikan fardhu haji. Ini adalah kerana ianya telah menjadi isu yang hangat diperbualkan di Malaysia dan ia juga sedikit sebanyak berkait dengan masa depan pelajar-pelajar tersebut .

Sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut, kami ingin menegaskan di sini bahawa:-

(i) Sudah menjadi dasar persatuan, kami hanya akan mendaftarkan para ahli ke universiti dan institusi yang diiktiraf oleh kerajaan Yaman. Apa yang kami maksudkan dengan ‘diiktiraf’ di sini ialah pihak imigresen Yaman mengeluarkan permit menetap ( Iqamah/Residence Permit ) kepada pelajar asing yang belajar di institusi tersebut . Sememangnya menjadi kaedah yang umum bagi mana-mana negara untuk mengeluarkan permit menetap kepada warga asing yang belajar di institusi pengajian yang diizinkan oleh pihak kerajaan negara tersebut untuk dihadiri oleh mereka.

(ii) Berkenaan dengan 12 orang pelajar Maahad Tahfiz Taiz yang ditahan pada 19 dan 20 Februari yang lalu ( 2 hari sebelum Hari Raya Aidiladha ), kami ingin menegaskan bahawa pihak imigresen Yaman telah pun mengeluarkan permit menetap (Iqamah) kepada semua pelajar tersebut .

(iii) Sebahagian daripada mereka telah berada di tahun kedua pengajian dan memiliki permit menetap untuk sesi pengajian 2001/2002. Oleh itu, isu permit tidak timbul langsung!

(iv) Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Yaman telah pun mengeluarkan surat sokongan untuk belajar di maahad tersebut dan Duta Besar juga telah melakukan lawatan rasmi ke Taiz pada tahun yang lalu. Kami amat terkilan dengan kenyataan yang menyebut bahawa mereka ditangkap kerana “berada di institusi yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Yaman serta terlibat dengan kegiatan politik, ekstremis dan militan.”

(v) Sekiranya benar mereka terlibat dengan kegiatan-kegiatan ini, PERMAYA merasakan adalah tidak logik mereka dilepaskan begitu sahaja oleh pihak berkuasa Yaman dan dibenarkan untuk terus meneruskan pengajian di Yaman kerana ini tentunya menggugat keselamatan kerajaan Yaman. Para pelajar ini berdaftar secara rasmi dengan persatuan dan juga Kedutaan Malaysia. Mereka juga sentiasa bekerjasama dengan pihak kedutaan di dalam pelbagai urusan, umpamanya mereka ditahan dalam perjalanan dari Taiz (120km jauhnya) untuk menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Kedutaan di bandaraya Sana’a. Pastinya ini petanda hubungan erat pelajar-Kedutaan yang sedia terjalin. Dan untuk makluman semua pihak juga, PERMAYA sentiasa mengadakan program-program bersama dengan pihak kedutaan seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Agong, Majlis Bacaan Yaasin dan sebagainya .

Kes yang kedua ialah penangkapan 10 orang pelajar Malaysia ketika memasuki sempadan negara Yaman sebaik sahaja selesai menunaikan fardu haji. Dalam kes kedua PERMAYA ingin menegaskan bahawa:-

(i) Semua mereka adalah pelajar yang berdaftar di Maahad ‘Ali Li Taujih Wal Irsyad, Universiti Al-Iman dan Universiti Saba’. Setakat penjelasan ini ditulis, kami hanya mengetahui bahawa mereka ini masih berada di dalam tahanan di Hajjah (sebuah wilayah di antara sempadan Yaman-Arab Saudi dan Sana’a).

(ii) Kesemua mereka ini juga berdaftar di IPT yang diiktiraf oleh kerajaan Yaman. Perkara ini diakui sendiri oleh Duta Besar Malaysia di Yaman, Dato’ M.N. Haji Azman, sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12 Mac 2002 di dalam artikel yang bertajuk “Tahan pelajar : Malaysia - Indonesia lantik wakil” ( sumber: website rasmi Berita Harian ).

Kami bagi pihak persatuan sangat berterima kasih kepada pihak kedutaan dan Kementerian Luar Malaysia yang bertungkus lumus berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Kami berharap agar para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar yang ditahan ini tidak perlu risau dan bimbang kerana anak-anak mereka tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. Pihak persatuan juga ingin menjelaskan di sini bahawa kesemua pelajar yang bernaung di bawah PERMAYA yang mendapat restu dan pengiktirafan Kedutaan Malaysia tidak terlibat dengan kegiatan-kegiatan politik, ekstremis , militan dan sebagainya.

Sekian dan salam hormat dari kami,

(Syed Mohd Norhisyam Bin Tuan Padang)
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman ( PERMAYA )
( permayaman@hotmail.com )
13 MAC 2002


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved