StatTrack
free web hosting | free hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, April 1, 2002 10:08 PM

PEMIMPIN MAHASISWA, PERLU TAHU FOKUS, TAHU PARIORITI


MUHAMMAD HISYAMUDIN BIN BAHARUDIN,Suara Mahasiswa,PKPIM

Dunia kampus dan mahasiswa tidak akan lengkap untuk dibicarakan jika tidak disertakan dengan perbincangan yang berkisar disekitar pemimpin mahasiswa. Pemimpin mahasiswa di peringkat tertinggi adalah yang menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar yang dipilih oleh warga kampus menerusi pilihanraya kampus yang dijalankan saban tahun. Manakala pemimpin mahasiswa diperingkat yang lain adalah seperti pemimpin jawatankuasa kolej serta pemimpin persatuan dan kelab.Terlalu banyak topik yang boleh dikaitkan dengan pemimpin mahasiswa.

Antaranya adalah seperti aktivisma pemimpin mahasiswa yang dilihat agak radikal disekitar akhir 60-an dan awal 70-an, kritikan dan pandangan yang kritis yang seolah-olah tidak disenangi oleh sesetangah pihak, mahasiswa yang dikatakan cenderung untuk berpolitik hingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran, sehinggalah kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan program-program dan aktiviti-aktviti yang dianjurkan bersama masyarakat, serta yang terbaru, pemilihan pucuk pimpinan kampus yang 'terbelenggu' dengan peraturan-peraturan baru yang ada baik dan buruknya.

Pilihanraya kampus tahun 2001 buat pertama kalinya dalam sejarah diseragamkan dari segenap aspek. Penyeragam ini merangkumi tarikh, tempoh berkempen, dan sudah tentu peraturannya. Peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan jika dianalisa dari aspek yang positif sebenarnya terkandung pelbagai tujuan yang baik. Antara peraturan baru yang diperkenalkan yang seolah-olah membelakangi tradisi berpolitik di kampus adalah larangan menyertai pilihanraya secara berkumpulan, atau lebih mudah disebut berparti.

Semua calon yang bertanding perlu mendaftarkan diri secara individu. Ini adalah satu peraturan yang baik kerana kelompok dan puak yang tidak sihat dikalangan mahasiswa secara tidak langsung akan dapat dielakkan. Justeru, perbezaan pendapat atau gerakan pelajar berasaskan kelompok dapat dikurangkan. Calon yang bertanding perlu mempertaruhkan dirinya secara individu. Kemampuannya, ketrampilannya, dan kekuatan peribadinya yang akan dinilai oleh pengundi. Tiada lagi proksi parti atau kumpulan untuk memenangkan calon yang bertanding. Warga kampus yang berkesedaran, apabila membuang undi sudah barang tentu akan memilih bakal pemimpin yang berkemampuan untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka.

Seseorang yang menjadi pemimpin mahasiswa jika diteliti dengan mendalam, sebenarnya berada dalam proses melaksanakan amanah perhambaan dan kekhalifahan. Islam dan ajarannya mengiktiraf peranan dan tujuan manusia diturunkan ke muka bumi sebagai hamba dan khalifah. Manusia sebagai hamba perlu melaksanakan segala arahan dan meninggalkan larangan yang termaktub dalam syariah. Ibadah perlu dilaksanakan tanpa sebarang bantahan dan hanya keredhaan Allah yang diharapkan. ALlah swt telah menyatakan dalam Al-Quran bahawa tujuan penciptaan makhluk khususnya manusia dan jin itu tidak lain kecuali untuk menyembah-Nya (Az-Zariat : 56).

Tugas kekhalifahan pula boleh diertikan sebagai mentadbir muka bumi supaya menjadi tempat yang harmoni dan selamat untuk didiami oleh seluruh makhluk. Firman ALlah yang bermkasud; "Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah daripada kamu di atas sesetengah yang lain beberapa darjat" (Al-An'am : 165) mengukuhkan lagi tanggapan ini. Justeru, jika dirangkumkan kedua-dua peranan ini, manusia perlu mentadbir muka bumi ini untuk kesejahteraan makhluk yang lain yang berlandaskan atau didasari dengan ketaatan dan kepatuhan kepada semua ajaran yang tekandung dalan ajaran Islam.


Begitu jugalah jika kita kaitkan dengan pemimpin mahasiswa. Pemimpin mahasiswa juga mempunyai peranan yang sama cuma yang berbeza adalah suasana dan skopnya sahaja. Pemimpin mahasiswa perlu melaksanakan amanah sebagai 'khalifah di kampus' dengan berusaha supaya semua pelajar akan terbela kebajikannya, suasana yang sejahtera dan kondusif di kampus diwujudkan, dan penghayatan budaya ilmu harus disemarakkan. Tambahan lagi, bagi memastikan usaha memimpin suasana kampus ini akan lebih berkesan, pemimpin mahasiswa perlu memastikan penggantungharapannya hanya kepada yang Maha Esa. Tidak kira agama apa yang dianuti, keyakinan kepada ketentuan tuhan itu perlu diperteguh sebagai bekalan menjalankan tugas kepimpinan. Doa dan harapan, perlu sentiasa dipohon ke hadrat Ilahi. Bantuan dan pertolongan perlu diminta daripadaNya supaya ditunjukkan jalan penyelesaian.


Sebab itulah, apabila membicarakan tentang kepimpinan peringkat mahasiswa, persoalan mengetahui fokus dan memahami prioriti perlu ditekankan. Fokus dan prioriti boleh dianggap sebagai indikator terbaik menilai kepimpinan mahasiswa. Mengetahui fokus merujuk kepada tahu akan matlamat dan hala tuju kepimpinan manakala memahami prioriti pula menjurus kepada kemampuan membuat pertimbangan unjuran keutamaan dalam gerak kerja seharian. Kedua-dua elemen ini perlu berjalan dalam keadaan yang saling lengkap melengkapi. Kegagalan menghayati dan melaksanakan satu aspek akan menjejaskan elemen yang kedua daripada dilaksanakan dengan baik.


Mengetahui fokus kepimpinan jika dihuraikan dengan lebih lanjut akan merujuk kepada matlamat atau objektif kepimpinan dalam masa tertentu. Sarjana dan cerdik pandai dalam bidang pengurusan sangat menekankan peri penting menetapkan fokus atau matlamat dalam gerak kerja. Fokus atau matlamat ini yang akan menjadi panduan dan hala tuju organisasi yang dipimpin sepanjang tempoh kepimpinan tersebut. Biasanya, kita lebih didedahkan dengan istilah visi dan misi. Visi merujuk kepada objektif gerak kerja organisasi manakala misi pula disifatkan sebagai kaedah atau metodologi yang dilaksanakan bagi mencapai visi yang telah digariskan.


Dalam konteks kepimpinan mahasiswa, sudah tentulah fokus utama adalah menjaga kebajikan pelajar. Sebagai pemimpin yang telah dipilih, maka amanah ini perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Isu-isu kebajikan pelajar yang seringkali timbul jika hendak ditangani akan menyebabkan pemimpin mahasiswa tidak menang tangan. Ini kerana terlalu banyak isu kebajikan yang perlu diselesaikan. Contohnya, masalah penempatan samada di kolej atau di luar kampus, isu pinjaman dan biasiswa, isu pendaftaran mata pelajaran, isu 'parking', peraturan-peraturan universiti yang terlalu menekan, isu makanan di kantin, isu keselamatan kampus, dan pelbagai lagi yang tentunya tidak akan selesai dengan mudah. Isu-isu yang bersifat lokal ini pun sudah cukup membuatkan pemimpin mahasiswa tidak ada masa untuk memikirkan perkara-perkara yang lain yang tidak berkaitan dengan urusan keorganisasiannya.


Selain isu-isu yang bersifat setempat, pemimpin mahasiswa juga perlu sentiasa 'update' dengan isu-isu di peringkat nasional samada yang melibatkan mahasiswa secara khususnya atau negara amnya. Isu pinjaman PTPTN yang dikatakan tidak efisien sejak 4 tahun penubuhannya perlu diambil kira oleh pemimpin mahasiswa. Pelaksanaan akujanji, matlamat pendidikan tinggi nasional, meritokrasi, pengangguran graduan IPT, masalah sosial dikalangan remaja, serta pembangunan generasi muda dan belia negara juga perlu diikuti secara matang oleh pemimpin mahasiswa. Janganlah hanya menjadi jaguh yang menjuarai isu-isu peringkat kampus, tetapi apabila diminta mengulas isu nasional, pemimpin mahasiswa akan kelu dan tidak mampu berkata-kata.


Selain daripada meletakkan fokus kebajikan sebagai yang utama, pemimpin mahasiswa juga perlu menyenaraikan fokus pembangunan intelektual dikalangan pelajar sebagai fokus seterusnya. Dunia pengajian adalah dunia intelek. Dunia intelek perlu dibangun dan dikembangkan supaya produk pendidikan yang dikeluarkan akan dilengkapi dengan kemampuan dari segi intelektualisma. Kampus dilihat sebagai tempat yang paling sesuai untuk menyuburkan budaya intelektual kerana suasana persekitarannya yang tidak dapat lari dari menghadiri kuliah, berdiskusi dan berdialog dengan pensyarah, kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti perpustakaan, sessi 'brainstorming' idea-idea baru, serta menganalisa isu-isu semasa nasional dan antarabangsa.

Lantaran itu, semua pihak di semua peringkat di kampus perlu berusaha memastikan usaha 'intelectual development' ini akan dapat dipertahankan. Usaha ini juga perlu dilaksanakan oleh pemimpin mahasiswa di semua peringkat. Program-program berteraskan pembangunan intelektual perlu disemarakkan dan mendominasi 'trend' program-program yang dijalankan oleh mahasiswa. Janganlah hanya melaksanakan program-program yang berbentuk keraian sahaja dan mengenepikan program-program yang berteraskan ilmu dan membangunkan intelek. Program-program seperti seminar yang mengupas isu-isu dan topik secara ilmiah perlu diperbanyak.

Seminar pemikiran tokoh-tokoh penting dalam sejarah, konvensyen, forum, kolokium, dan dialog ketamadunan juga perlu diambil kira. Janganlah sampai masanya apabila 'kebekuan intelektual' itu sudah berleluasa barulah kita mahu bertindak. Sebab itulah, pemimpin mahasiswa dalam merangka fokus kepimpinannya, usaha meningkatkan 'thingking capacity' dikalangan pelajar menerusi program-program ilmiah perlu diberi keutamaan.


Antara ciri istimewa mahasiswa adalah kemampuan inteleknya. Ini kerana 'condusive surrounding' yang wujud di kampus akan membantu ke arah pembangunan intelektual. Kemampuan dari segi intelektual dan kemahiran berfikir serta menganalisa maklumat adalah sangat penting bagi menghadapi situasi sebenar pasca graduasi. Mahasiswa yang matang dan lengkap dengan ilmu dan kemampuan intelektual tidak akan mudah melatah dengan perubahan-perubahan semasa.

Justeru, sebelum mahasiswa manamatkan pengajian, mereka perlu memastikan bahawa diri mereka sudah dilengkapkan dengan 'pre-requisite' ini. Seorang tokoh pemikir Islam, Malik Ben Nabi telah mengutarakan pendapatnya yang menyimpulkan bahawa umat Islam rata-rata sedang menderitai wabak yang dinamakannya ad-da'fu wa' l-kaslu fi 't-tafkir (lemah dan malas berfikir). Umat kita telah kehilangan 'thinking capacity' atau daya kemampuan berfikir sehingga tidak berupaya melepaskan diri dari belitan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.

Antara sebab yang boleh dikaitkan dengan masalah ini adalah kerana kurangnya usaha menyemarakkan budaya ilmu dan pembangunan intelektual dalam masyarakat. Lantaran itu, sebagai pemimpin mahasiswa, perkara ini perlu dipastikan supaya tidak merebak di kampus masing-masing.

Perkara kedua syarat kepimpinan selain daripada mengetahui fokus adalah memahami prioriti. Prioriti atau keutamaan adalah perkara yang perlu didahulukan dalam setiap tindakan yang diambil. Ulama kontemporer yang terkenal, Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang terkenal 'Fiqh Keutamaan' mendefinasikan keutamaan atau prioriti sebagai meletakkan sesuatu pada kedudukannya dengan sewajarnya, samada dari segi hukum, nilai, dan pelaksanaannya yang berdasarkan petunjuk wahyu dan diterangi akal.

Dalam konteks kepimpinan mahasiswa, memahami urutan keutamaan perlu dijadikan agenda penting dalam gerak kerja. Hal ini bagi memastikan segala tindakan bagi menangani isu kebajikan pelajar dalam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Isu yang 'crucial' atau sangat penting perlu diselesaikan dahulu sebelum isu yang penting dan isu yang kurang penting.
Dari aspek pemimpin mahasiswa sebagai seorang pelajar universiti juga memerlukan kemahiran memahami keutamaan ini. Sebagai seorang pemimpin mahasiswa, mereka mempunyai dua prioriti yang utama. Pertama sebagai seorang pelajar universiti dan kedua sebagai seorang pemimpin mahasiswa.

Sebagai seorang pelajar, tugas utama semasa berada di alam kampus adalah untuk belajar dengan bersungguh-sungguh, mencari dan mendalami ilmu sebanyak-banyaknya, serta berjaya dengan cemerlang dalam semua ujian dan peperiksaan sehinggalah menamatkan pengajian dengan berjaya. Dalam masa yang sama tugas ini adalah untuk memenuhi hasrat kedua ibu bapa yang bersusah payah berusaha menghantar mereka ke universiti. Ini dengan harapan, apabila sudah menamatkan pengajian kelak, mahasiswa akan menjadi orang yang berilmu tinggi, berguna kepada masyarakat, serta dihormati oleh orang di sekeliling yang akhirnya akan membantu ibu bapa dihari tua mereka.

Persoalan berjaya dengan cemerlang dalam pengajian tidak dapat dielakkan kerana suasana semasa mengkehendakkan mahasiswa memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan supaya menjadi individu yang kompeten dalam arus meritokrasi. Dalam masa yang sama, kecemerlangan pelajar sebagai individu dari segi akhlak, nilai, adab, etika, dan norma yang berteraskan nilai-nilai yang diterima sejagat juga perlu dititikberatkan. Kita tidak mampu melihat produk pendidikan kita adalah yang cemerlang dari segi kemahiran dan ilmunya tetapi tempang dari aspek kesedaran kemasyarakatan, kesedaran keagamaan, kesedaran kemanusiaan, yang korup, yang rasuah, dan yang pecah amanah.

Keutamaan yang kedua adalah sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Prioriti yang perlu diselesaikan di sini adalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka. Dalam menunaikan tugas ini, pemimpin mahasiswa perlu menghadiri mesyuarat sesama barisan kepimpinan, mesyuarat dengan pihak autoriti atau pentadbiran universiti, mesyuarat atau pertemuan dengan pelajar-pelajar yang lain, serta menghadiri program-program samada peringkat kampus atau kebangsaan. Hal ini memerlukan pemimpin mahasiswa memperuntukkan hampir seluruh masa dalam sehari bagi memenuhi keutamaan ini.

Timbul persoalan, bagaimana pemimpin mahasiswa menangani kedua-dua priotiti yang berlaku serentak ini ?. Keutamaan sebagai pelajar dan sebagai pemimpin mahasiswa dilihat mempunyai kepentingan yang setara. Kedua-duanya perlu ditangani serentak. Di sinilah kita akan melihat kebijaksanaan pemimpin mahasiswa menyelesaikannya. Faktor kemampuan membahagi masa menjadi syarat terpenting dalam menangani persoalan ini.

Pemimpin perlu menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan pelajarannya supaya mereka dapat menjalankan tugas kepimpinan dengan baik. Segala tugasan kursus, latihan, dan projek perlu disiapkan dalam masa yang diberikan. Jadual belajar yang efisien perlu dirangka dan dijalankan. Apabila pemimpin mahasiswa sudah menyedari bahawa masa yang ada sudah berkurangan jika dibandingkan dengan sebelum menjadi pemimpin, maka mereka akan sangat menghargai masa yang terluang. Penuhilah masa yang terluang walau semint dua untuk mengulangkaji pelajaran walaupun sedikit.


Selain pembahagian masa yang cekap, sekali lagi 'condusive surrounding' atau 'effective environment' memainkan peranan yang penting. Pemimpin perlu mewujudkan suasana yang akan membantunya menangani kedua-dua prioriti ini. Suasana merujuk kepada orang-orang di sekelilingnya, budaya dan tabiat hidup, kemudahan-kemudahan yang ada serta 'accessibility' kepada individu-individu yang baik-baik untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar. Jika suasana sekeliling yang dibina adalah suasana yang tidak memihak kepada pemimpin mahasiswa, kemungkinan mereka akan lemas dalam keutamaan tidak dapat disangkal. Akhirnya, bak kata pepatah melayu, "yang dikejar tak kesampaian, yang dikendong keciciran".

Penyelesaian yang ketiga adalah dengan melakukan pengorbanan besar dalam kehidupan seharian. Pemimpin mahasiswa tidak boleh menyamakan kehidupannya sebelum dilantik dengan selepas berada ditampuk kepimpinan. Sebagai seorang pemimpin, tahap pengorbanan adalah besar jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar biasa. Pemimpin mahasiswa tidak ada banyak masa untuk keluar menghabiskan masa di pusat-pusat membeli belah, pulang ke kampung setiap hujung minggu, menonton semua rancangan television yang ada, atau mempunyai masa untuk berbual dengan kawan-kawan dan masa tidur yang panjang. Tidak ada lagi peluang untuk bersuka-suka yang tidak terarah atau menghabiskan masa untuk perkara yang tidak bermanafaat. Semua keseronokan perlu dikorbankan demi tugas dan tanggungjawab.

Sebagai kesimpulannya, persoalan mengetahui fokus dan memahami prioriti perlu diselesaikan dengan bijaksana oleh pemimpin mahasiswa. Tempoh setahun kepimpinan ini adalah satu 'training camp' yang sangat efektif bagi melatih bakal-bakal pemimpin dimasa hadapan. Kejayaan kepimpinan adalah bergantung kepada kejayaan pemimpin meletakkan fokus dan menyusun prioriti dengan bijaksana serta terpandu oleh pandangan-pandangan cerdik pandai serta rujukan dari sumber yang 'authentic' sifatnya.

MUHAMMAD HISYAMUDIN BIN BAHARUDIN
Bendahari
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
2001 / 2002


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved