StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, February 26, 2002 8:35 PM

Salahkah Mahasiswa menyokong pembangkang?


Pengakuan malas seorang pengecut ?

Oleh : AmbillahOlehMu

Ubahlah tajuknya kepada `Salahkah Mahasiswa Menyokong Kerajaan?’ sekalipun, jika hujahnya – yang bakal kita telanjangkan - sama juga maka bagi saya ianya adalah pengakuan malas seorang pengecut. Yang dipersoalkan adalah hujah yang digunakan bukan kerana pihak yang disokong. Sebelum anda melabel saya ekstremis, baca dulu pandangan saya . . .

Dalam tulisan bertajuk `Salahkah Mahasiswa Menyokong Pembangkang’ Siswa Jihad mengatakan `maka jangan disalahkan mahasiswa jika mahasiswa cenderung kepada pemikiran pembangkang kerana PAS, ABIM, PKPIM dan JIM lebih rajin berinteraksi dengan mahasiswa berbanding dengan GPMS, MAYC dan UMNO.

Lojik yang diguna adalah mahasiswa akan berfikiran sepertimana kumpulan yang mendekati dan saling berinteraksi dengan mereka.

Saya ingin tanya anda, jika UMNO yang selalu berinteraksi dengan mahasiswa, maka apakah mahasiswa akan berfikiran seperti UMNO ?


Jika para pelacur dan pelanggan lacur, penagih dan pengedar dadah, pembunuh, serta pengamal seks bebas rajin berinteraksi dengan mahasiswa apakah mahasiswa akan berfikiran seperti seorang pelacur dan pelanggan lacur ? Berfikiran seperti seorang penagih dan pengedar dadah ? Atau berfikiran pembunuh dan mengamalkan seks bebas ?

Logik yang diguna ini logik pasti bermaksud ianya tidak ada kemungkinan lain : tidak ada faktor-faktor lain hanya kerana didekaiti dan saling interaksi maka mahasiswa menyalin fikiran golongan yang mendekati mereka.

Ini menimbulkan beberapa perkara iaitu – apakah benar mahasiswa hanya berinteraksi dengan fikiran pembangkang dan apakah mahasiswa itu tidak tahu berfikir sehingga begitu mudah teraruh dengan corak fikiran yang mendekati mereka ?

Benarkah mahasiswa lebih sering berinteraksi dengan fikiran pembangkang ?

Bila kita sebut pembangkang – maka lawannya tentulah kerajaan. Tetapi sudah dijelaskan oleh Siswa Jihad bahawa kononnya kumpulan penyokong kerajaan ini tidak rajin berbanding dengan kumpulan pembangkang dalam usaha mendekati dan berinteraksi dengan mahasiswa. Saya tak kisah – baik kalangan pembangkang mahupun kerajaan yang dominan dalam interaksi dengan mahasiswa kerana saya yakin dominan interaksi mahasiswa sepatutnya adalah dunia ilmu.

Barangkali kerana usia Siswa Jihad sudah melayakkannya untuk mengundi maka dalam kononnya demi mencari pilihan undian yang tepat dirasakannya perlu untuk meladeni fikiran-fikiran parti politik semasa belajar. Saya tak kata salah pun. Memang Siswa Jihad kena tahu – kena dengar pendapat dan teliti perjuangan semua parti politik sebelum membuat keputusan kumpulan mana yang dia nak sokong.

Yang saya kesalkan – dan ini bukan hanya kepada Siswa Jihad tetapi juga kepada seluruh aktivis gerakan mahasiswa hari ini ialah kerana mereka tidak menjadikan ilmu sebagai bahan perjuangan. Hanya isu. Dan isu itu pula tampak jelas diusulkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Anda datang ke menara gading kerana ilmu – tetapi yang anda beri perhatian lebih adalah fikiran parti politik – malah ada yang tidak segan-segan terlibat sebagai aktivis politik! Sekali lagi – ikut fikiran saya tidak salah.Cumanya ianya jelas melanggar AUKU. Ditangkap tentu saja kena tindakan.

Marilah kita renung seketika apakah selama ini `perjuangan kita dalam dunia ilmu’ sebagai mahasiswa sudah memadai untuk kita menfokus pula seluruh tenaga kepada pergolakan politik. Apa pandangan anda ? Sudah cukup ?

Jika anda fikir tertunailah tanggungjawab mahasiswa itu kepada dunia ilmu , kepada bangsa, agama dan tanah airnya bila dia lulus – atau katakan saja cemerlang maka saya katakan kepada anda – itu tanggungjawab asas. Sama asasnya seperti Allah anugerahkan hidup kepada kita maka sebagai hamba yang diberi nyawa dan kehidupan, kita harus beribadat kepadaNya. Maksudnya – anda tidak diberi peluang masuk ke menara gading untuk gagal ! Anda dimasukkan dengan tanggungjawab asasnya – anda mesti berjaya dengan cemerlang. Bukan paras hidung – tetapi cemerlang ! Bukan hanya pada kertas tetapi boleh menghurai boleh menjelaskan – ringkasnya mahir dan berupaya menyampaikan kemahiran itu pada orang lain. Ini yang saya fikir – pertiwi mahu.

Itu asas. Dan bila kita sebut soal perjuangan maka perjuangan ini untuk apa ? Untuk Islam ? Untuk bangsa ? Untuk negara ?

Apakah anda sudah berjuang untuk Islam jika anda berfikiran sama dengan kumpulan pembangkang yang melabel diri mereka Islam walaupun pengetahuan dan kemahiran Islam anda boleh saja dipertikaikan ? Teliti dulu – perjuangan Islam sepengetahuan saya bukan untuk sebuah nation state. Apakah anda tidak pernah baca keperluan untuk seorang rakyat itu taat kepada ulil amrinya (pemerintah) dan bila kita dibenarkah mengangkat senjata atau menggulingkan kerajaan ? Saya tidak menentang gagasan negara Islam yang saya tentang adalah kewujudan berbilang negara Islam kerana itu tidak dianjurkan oleh Islam. Mengikut sejarah Islam hanya satu – walaupun wilayahnya ada di Tanah Arab, Asia Tenggara mahupun Eropah. Negaranya – kalau mahu disebut negara – HANYA SATU - yang berbilang adalah wilayah.

Meminta melaksanakan itu-ini memang mudah – modalnya cuma air liur ! Tetapi kerajaan harus berfikir sebagai penjaga negara – melihat impak sesuatu tindakan itu bukan hanya terhadap kalangan yang meminta tetapi juga puak-puak lain – dalam dan luar negara. Bagi yang meminta – difikirnya semuanya boleh saja – sudah sampai masanya – tidak ada yang susah asal saja mahu melaksanakan. Tetapi ada kemungkinan jika permintaan mereka dipenuhi akan menyebabkan puak lain pula berasa terancam.

Malaysia hari ini bukan negara yang orang tidak kenal. Malaysia senantiasa dipantau oleh seluruh dunia dan jika anda sedar kita hari ini menjadi target kebencian Barat kerana kita tidak mengizinkan mereka berleluasa di sini. Kita jemput mereka datang tetapi mereka hanya boleh berada di sini dengan syarat-syarat kita yang menguntungkan kita.

Kebijaksanaan pemimpin kita mengemudi negara keluar dari kemelut ekonomi serantau memukau dunia . Kita selamat dari umpan dan perangkap mereka. Lihat Korea. Lihat Taiwan. Ekonomi mereka kini dikuasai siapa ? Daewoo – syarikat gergasi Korea kini tuan barunya siapa ?


Bila mereka gagal menguasai kita melalui apa yang mereka panggil pakej pemulihan ekonomi tempohari, anda fikir mereka akan berhenti di situ sahaja ? Tidakkah anda sedar kita sedang diserang hari ini – dianggap sebagai salah sebuah negara pelindung pengganas ? Apa yang anda dan puak-puak pembangkang misalnya lakukan untuk mempertahankan Islam dan negara dalam hal ini ? Boleh anda senaraikan ?

Apakah anda sudah berjuang untuk negara bila kononnya berdemonstrasi memperjuangkan hak rakyat sehingga menyebabkan kumpulan peniaga kecil bangsa sendiri rugi kerana tempat perniagaan mereka dijejaskan dan negara dilihat sebagai tidak stabil hingga menyebabkan para pelabur menarik keluar pelaburan ?

Negara mana yang anda perjuangkan ? Negara yang sedia ada atau negara yang belum wujud ? Kalau negara yang sedia ada ini – bagaimana anda boleh mengatakan anda berjuang untuknya jika tindakan andalah yang menyakitinya ?

Apa terjadi jika pelabur asing menarik keluar pelaburan ? Apa jadi jika negara luar tak mahu beli barangan keluaran kita ? Pelancong tak nak datang. Anda tahu berapa juta rakyat negara ini akan menderita tak ada pekerjaan ? Masalah pengangguran akan meruncing dan jika ianya gagal di atasi segera akibatnya jenayah mencuri, merompak dan sebagainya akan subur. Ini yang anda mahukan ?

Kerajaan tidak sempurna. Ada kelemahan. Bukan semua yang menjadi pemimpin kita tu benar-benar ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara. Mungkin banyak daripadanya jenis demi diri sendiri dan kaum kerabat barulah orang lain, agama, dan negara. Tetapi apakah cara kita menegur, cara kita mahu memperbaiki keadaan itu wajar dan kerana kita mahasiswa yang berpijak atas landasan ilmu dan sebagai pewaris negara saya tidak nampak terpekik terlolong memaki-maki orang lain itu sebagai tugas apatah lagi perjuangan suci yang patut diikuti. Memalukan – amat memalukan. Mana ilmunya ? Apakah ianya menyelesaikan masalah ?

Barangkali seronok digelar wira reformasi – menelanjangkan kebobrokan kerajaan. Ibaratnya – kalau ada saja yang tidak beres atau anda tidak puas hati dengan orang tua anda sebagai pemerintah keluarga maka anda sanggup telanjangkan kedua orang tua anda dan arak keliling kampung dan negara ? Anak apa anda ini ? Apakah cara anda itu diredhai Islam ?

Apakah satu-satunya cara menyelesaikan masalah adalah dengan menelanjangkan pihak lain ? Atau seronok mencari-cari kesalahan orang lain ? Atau beria-ia mengatakan kita saja yang benar ? Nampaknya kita cuma mahasiswa yang buta tradisi – buta Islam tetapi mengaku memperjuangkannya.

Kita mahasiswa – fikiran saya - perjuangan kita harus bertitik tolak dari dunia ilmu itu sendiri. Fardhu ain kita adalah untuk cemerlang dalam pengajian. Fardhu kifayah kita adalah untuk mengembangkan ilmu yang kita pelajari. Bila berlaku sesuatu dalam masyarakat yang memerlukan kita mengambil tindakan atau menyuarakan pandangan – kita harus bertindak juga melalui dasar ilmu. Berdialog. Kajian intensif mencari alternatif. Apa yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah dan bagaimana kalangan mahasiswa boleh membantu secara praktikal maksud saya tindakan bukan hanya air liur – kalau masalah pendidikan – barangkali praktisnya membuka kelas-kelas pengajian atau tiusyen menengah dan rendah secara percuma dengan lebih giat. Demonstrasi mudah - beberapa jam dalam satu hari. Tetapi mengendalikan kelas kemahiran misalnya secara berterusan bukan mudah. Mengangkat poster dan sepanduk serta menjerit terlolong-lolong tidak menambah pendapatan petani, tidak menambah pengetahuan dan kemahiran anak-anak sekolah menengah tidak juga meletakkan kita selangkah ke hadapan negara dan bangsa lain yang di masa akan datang mungkin secara terang mahupun senyap-senyap menjadi musuh kita.

Logik yang diguna oleh penulis ini amat berbahaya. Golongan penganut mazhab logik jenis ini tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan. Tiap kesalahan mereka senantiasa dibebankan kepada pihak lain. Dialog rutin mereka ini antara lainnya katanya `ini semua kau punya pasallah.’ Aku tewas kerana digoda – menyerah sebenarnya, lagi mahu mengaku tewas !.

Ekstremis golongan ini gemar menyalahkan ibu bapa yang kononnya cuai, tidak mengambil berat, porak peranda, kaki judi dan sebagainya untuk menghalalkan jenayah peribadi mereka seperti merogol, mencuri, mengambil dadah dan yang seertinya.

Mereka menolak hakikat bahawa mereka mempunyai akal untuk berfikir sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan walaupun keputusan itu adalah tidak membuat sebarang keputusan. Kewajipan berfikir ini tidak ada dalam minda dan jiwa mereka.

Lebih menakutkan lagi bila cara berfikir begini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam yang antara lain meminta umatnya meneliti dan mengkaji sesuatu itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Surah Al Anfal ayat 22 : Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang –orang yang pekak dan tuli dan tidak berakal.

Asy-Syaheed Al-Ustaz Murtadha Muttahari dalam buku Mengenali Al-Quran menafsirkan ayat tersebut sebagai bermaksud "tuli dan pekak ini bukanlah dari sudut pancaindera malah mengandungi pengertian iaitu jemaah manusia yang tidak ingin untuk mendengar kebenaran dan apabila mereka mendengar kebenaran mereka tidak mengetahuinya. Dalam masa yang sama mereka berupaya pula untuk mendengar

perkara yang sia-sia dan kosong. Al-Quran mengatakan keadaan ini sebagai pekak. Lidah yang hanya mampu membicarakan benda yang sia-sia dan tidak berfaedah dipanggil Al-Quran sebagai lidah yang bisu. Ada pun orang-orang yang tidak berakal itu adalah mereka yang tidak mendatangkan manfaat dari apa yang difikirkan oleh mereka. Al-Quran melihat mereka tidak layak sama sekali untuk mencapai INSAN lalu mereka digambarkan dengan jalan hidup haiwan dan binatang melata."

Suruhan menggunakan fikiran ini ditegaskan lagi dalam surah Yunus ayat 100 : Dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.

Surah Al-An’am ayat 50 : … Katakanlah : Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik ? Tidakkah kamu mahu berfikir ?

Demikian juga dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang selalu digunakan baik oleh pembangkang mahupun kerajaan yang ertinya : Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Cukuplah dalil nakli di atas untuk membuktikan bahawa Islam amat menitik beratkan penggunaan akal. Inilah asas yang menyebabkan manusia itu dihakimi di hari kemudian untuk ditentukan ganjaran pengabdiannya di dunia ini sama ada misalnya syurga atau neraka. Maklumlah dalam pembelajaran kita mengenal pencipta kita di ajar kalau tiap benda seperti katakanlah kerusi ada penciptanya maka dunia ini – maya ini pasti ada penciptanya juga. Untuk memahami analogi ini sahaja sudah memerlukan penggunaan akal.


Dalam Islam seseorang individu itu tidak bertanggungjawab terhadap bebanan atau kesalahan yang dilakukan oleh individu lain. Seseorang itu bertanggungjawab terhadap setiap apa yang dikerjakannya sahaja. Dan seseungguhNya, Allah itu Maha Mengetahui. Surah Al-Zilzal ayat 7-8 ertinya : Maka sesiapa yang melakukan kebajikan sebesar zarah, nescaya akan dilihatNya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatNya.

Saya menyarankan Siswa Jihad meneliti baik-buruknya mahasiswa bergiat dalam politik parti dan sumbangan aktiviti sedemikian kepada ummah. Saya fikir politik parti khususnya dalam kampus akan lebih banyak membawa keburukan dan perpecahan dari kebaikan. Insya’Allah – hal ini akan saya bicarakan dalam tulisan lain.

Yang penting dalam berhujah atau memberikan sebab mengapa kita melakukan sesuatu, mahasiswa harus tegas. Mengutarakan logik yang rapuh dan memalukan sedemikian amatlah tidak wajar. Mengapa tidak katakan dengan bangga – kami – mahasiswa setuju dengan perjuangan pembangkang dan menyokongnya ? Kemukakanlah hujah-hujah apa yang menyebabkan anda setuju dengan perjuangan pembangkang. Apa sebabnya anda yakin dengan perjuangan mereka ? Dan mengapa anda harus menyokongnya ? Kita boleh saja memulakan dengan menyenaraikan pro dan kontra. Ini prosedur biasa penyelesaian masalah.

Bila anda memberikan sebab selalu bernteraksi untk menyokong, jika saya pembangkang, saya merasa malu kerana anda mengaku memperjuangkan apa yang saya perjuangkan sedangkan sebenarnya anda hanya menyokong perjuangan kami kerana kami mendekati anda.

Jauh beza maksud dan ketegasan kata-kata saya sokong pembangkang sebab saya selalu berinteraksi dengan mereka dengan saya sokong pembangkang kerana saya yakin merekalah yang mampu membawa negara ini ke arah mendapat keredhaan Allah.

Mungkin, Siswa Jihad akan dapat menuliskan – mengapa dia menyokong pembangkang dengan memberikan hujah yang lebih baik. Insya’Allah jika Siswa Jihad sudi, tentu saja kita boleh bahaskan bersama.

Maksud saya katakan di permulaan tulisan ini bahawa alasan yang dikemukakan ini tidak lebih dari pengakuan malas seorang pengecut adalah kerana pengakuan malas –jelas logik yang digunakan tidak diuji secara aqli dan naqli. Saya katakan ia hanya dilafazkan oleh seorang pengecut kerana berjuang untuk orang lain dengan maksud menyalin ideologi dan gerakan parti atau kalangan lain itu lebih mudah dari membina gerakan dan perjuangan sendiri apatah lagi membangun dan memperjuangkan ideologi keilmuan yang tersendiri dan bermaruah. Pengecut kerana pelafaznya lari dari medan tanggungjawab membina dan membangunkan dunia ilmu dan mahasiswa itu sendiri. Lantas mencari jalan mudah – menyalin milik orang lain dan berselindung dibalik kata-kata menyokong . . .. Itu yang anda sokong – pendirian sendiri bagaimana ?


Wallahualam bissawab.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved