StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Kebakaran Dewan Sultan Iskandar angkara khianat


Berita Minggu:10 Mac 2002

SKUDAI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak menolak kemungkinan kebakaran Dewan Sultan Iskandar, di sini, awal pagi kelmarin berpunca daripada perbuatan sabotaj menjelang konvokesyen universiti itu, minggu depan.

Malah, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali tidak menolak andaian perbuatan itu sebagai khianat terhadap sambutan ulang tahun Ke-30 UTM yang bakal dirasmikan Sultan Johor, Khamis ini dan majlis konvokesyen pada 16 dan 17 Mac ini.

“Andaian kita ini berdasarkan tindakan universiti yang mula mengambil tindakan disiplin lebih tegas terhadap pensyarah, pelajar dan stafnya yang terbabit dalam kegiatan antikerajaan atau yang bertentangan dengan kod etika universiti sejak kebelakangan ini.

“Kita mengambil sikap tegas dalam banyak isu. Kemungkinan ini (sabotaj dari pihak dalaman) juga bermain di fikiran kita,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Majlis UTM, di sini, semalam.

Berita Harian dalam laporannya semalam memetik sumber yang menyatakan bahawa kebakaran pentas, tirai dan pelbagai peralatan di Dewan Sultan Iskandar itu, walaupun disifatkan tidak serius, namun ada unsur khianat.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zulkifli berkata, UTM sudah mengambil pelbagai tindakan tegas dalam banyak hal membabitkan disiplin pelajar, pensyarah mahu pun stafnya.

UTM tidak berhasrat untuk bertolak ansur dalam hal berkaitan disiplin terutama membabitkan kegiatan antikerajaan atau bertentangan kod etika yang perlu dipatuhi pensyarah, katanya.

“Mereka perlu menunjukkan prestasi memuaskan dan berkelakuan sebagai seorang pensyarah. Kita sudah hantar mesej cukup jelas supaya mereka menepati sasaran untuk capai kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembelajaran,” tegasnya yang tidak menafikan wujud kumpulan yang tidak bersetuju dengan langkah tegas itu.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Zulkifli berkata, siasatan awal oleh juruelektrik dan pakar UTM mendapati kebakaran tidak mungkin berpunca daripada litar pintas.

“Kemungkinan besar ia bukan kerana litar pintas. Ini kerana kita tidak banyak guna tenaga elektrik pada malam kejadian, selepas semua sistem elektrik ditutup. Malah, semua sistem elektrik baru diperiksa bulan lalu.

“Punca api (kebakaran itu) senang saja. Kalau ada pemetik api dan rokok yang dibakar kepada langsir. (Siasatan awal) kami mendapati punca api datang dari dua tiga tempat iaitu atas pentas dewan dan mungkin langsir.

“Bagaimanapun, kita tidak tahu sama ada ia kesan api rokok atau sumber lain, sama ada ia disengajakan atau tidak,” tegasnya sambil memberitahu hasil siasatan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa.

Siasatan awal polis menyifatkan kejadian itu berpunca daripada litar pintas, tetapi siasatan lanjut sedang diteruskan.

Berikutan kejadian itu juga, Dr Mohd Zulkifli berkata, UTM akan mengetatkan kawalan di beberapa bangunan lain termasuk pentadbiran dan makmal, bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa depan.

UTM juga, katanya, tidak berhasrat menangguhkan beberapa majlis sempena sambutan ulang tahun universiti pada 14 Mac ini dan konvokesyen yang dijadual berlangsung pada 16 dan 17 Mac ini berikutan kejadian itu.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved