StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, April 1, 2002 8:02 AM

MAHASISWA BUMIPUTERA PERLU MENILAI KEKUATAN DIRI.



Mohd.Izwan Bin Hj.Md.Yusof,PMIUM

Dalam meneliti kenyataan Profesor Diraja Ungku Aziz yang menyatakan konsep dan falsafah universiti perlu diubah daripada untuk memenuhi pasaran kerja kepada mengeluarkan siswazah yang boleh mencipta permintaan;PMIUM berpendapat cabaran ini perlu dilihat secara positif.Ia perlu disahut dengan semangat yang tinggi dan hati yang terbuka samada oleh pihak pentadbiran universiti,mahasiswa yang masih menuntut di universiti mahupun siswazah yang sudahpun menamatkan pengajian mereka.

Berasaskan fakta yang dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara , Datuk Mustapa Mohamed bahawa 24,728 siswazah IPT tempatan mengikuti skim siswazah menganggur(SSM) yang mana 94 % daripadanya adalah pelajar bumiputera , jelas menunjukkan kepada kita bahawa satu tindakan segera yang bersepadu melibatkan ketiga-tiga pihak di atas perlu diambil untuk menanganinya.

Naib Canselor Universiti Malaya;Profesor Dato’ Dr. Anuar Zaini dalam perutusan Tahun Baru pada 16 Januari 2002,menjelaskan bahawa matlamat UM pada tahun ini adalah untuk melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut akademik dan syakhsiyyah,bernilai di pasaran tempatan dan antarabangsa,peka kepada aspirasi agama,bangsa dan negara seterusnya mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif serta berdaya saing.PMIUM berpandangan , jika setiap pentadbiran universiti di Malaysia menggariskan matlamat yang sedemikian,maka sedikit sebanyak ia mampu membendung gejala pengangguran di kalangan siswazah IPT tempatan khususnya bumiputera.Namun demikian,ia memerlukan peranan penting yang mesti dimainkan oleh mahasiswa dalam menguasai bidang lapangan masing-masing di samping menguasai Bahasa Inggeris dan kemahiran IT yang semakin diperlukan dalam dunia hari ini.Bahkan graduan atau siswazah yang sudahpun menamatkan pengajian mesti mampu berdikari,yakin pada diri sendiri,mempunyai ilmu yang praktikal kepada dunia semasa,mempunyai ketrampilan diri serta berdaya saing.

PMIUM menyeru kepada mahasiswa bumiputera khususnya agar tidak sekadar mengharapkan kelulusan yang cukup makan sahaja.Mereka perlu berusaha memastikan bidang yang dipelajari sekarang dikuasai dengan baik seterusnya mampu mencipta permintaan pekerjaan baru sebagaimana saranan Profesor Diraja Ungku Aziz.Justeru,tidak timbul soal punca utama pengangguran di kalangan siswazah bumiputera kerana memilih bidang sastera yang meliputi jurusan Sastera,Ekonomi,Perakaunan,Pentadbiran Perniagaan dan Pengajian Islam jika mereka mampu berdikari , bijak menilai peluang,dan tidak terlalu memilih kerja seawal tamatnya pengajian mereka di universiti.

Ini kerana PMIUM berpendapat mahasiswa daripada aliran sastera juga bernilai tinggi di pasaran kerja hari ini kerana mereka bukan sekadar mengetahui teori dan menguasai falsafah yang diperoleh dalam pembelajaran mereka, bahkan mempunyai kekuatan dalaman dan prinsip yang kukuh dan teguh dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan seperti rasuah,pecah amanah dan pelbagai salah laku yang lain.

Selain itu,PMIUM juga menyeru mahasiswa supaya meraih pengalaman dengan menceburkan diri dengan kegiatan berpersatuan dalam usaha mematangkan fikiran,daya ketrampilan diri yang meyakinkan dan kemahiran interaksi sosial yang berkesan.Ini sekaligus dapat mengelakkan mahasiswa mengisi masa terluang dengan kegiatan tidak berfaedah seperti berpeleseran,terpengaruh dengan budaya hedonisme dan tidak bersungguh dalam pengajian mereka dengan mengabaikan perpustakaan .Bukti yang ada hari ini , jelas menunjukkan mereka yang bijak mengimbangkan di antara kegiatan berpersatuan dengan penumpuan akademik,berjaya mencapai kecemerlangan akademik yang lebih baik.Ia dapat dilihat dengan kejayaan saudara Shafik Badaruddin,25,pelajar jurusan Syariah dan Pengurusan yang memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja sewaktu Konvokesyen Universiti Malaya pada tahun 1999 dan beliau merupakan Ketua Pengarah Biro Penerbitan PMIUM pada tahun tersebut.

Pada waktu yang sama,PMIUM tetap menyokong kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi,Profesor Dr.Hassan Said yang akan mengarahkan semua IPTA tempatan untuk menjalankan keperluan pasaran kerjaya terlebih dahulu sebelum memperkenalkan program pengajian baru.Ia penting bagi memastikan graduan IPTA tempatan memenuhi keperluan pasaran kerjaya.Secara umumnya,PMIUM berpendirian semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani masalah pengangguran di kalangan siswazah bumiputera, dengan memastikan semua pihak jelas akan tanggungjawab yang perlu dimainkan.Kepada mahasiswa bumiputera,ingatlah pesanan Pak Ungku, "Universiti hanya tempat mencari,menyampai ilmu dan membina ketrampilan diri.Universiti bukan tempat menyediakan pekerjaan".Oleh yang demikian,kita perlu berfikir sejenak dan merenung semula kekuatan diri masing-masing dalam menyedari peranan kita sebagai pewaris kepimpinan negara yang ada pada hari ini.

Mohd.Izwan Bin Hj.Md.Yusof
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM)
Aras 2,Blok F,Kompleks Perdana Siswa,
Universiti Malaya,50603,
Kuala Lumpur.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved