StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, January 31, 2002 10:05 PM

Pakistan akan hantar pulang pelajar terbabit Militan


KUALA LUMPUR, Isnin Kerajaan Pakistan akan
menghantar pulang serta merta pelajar Malaysia yang
terbabit dalam kegiatan militan, kata Pesuruhjaya
Tinggi Pakistan di Malaysia, Jeneral (B) Nasim Rana.

Polisi kerajaan kami tegas, iaitu melarang rakyat
asing, termasuk pelajar menyertai kegiatan keganasan.
Jika ada, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang dan dihantar pulang, katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Nasim berkata sejak Pakistan mewajibkan pelajar luar mendapatkan sijil kelulusan daripada Wisma Putra, belum ada pelajar luar, khususnya dari Malaysia yang dihantar pulang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar hari ini bahawa Kementerian Pendidikan sedang mengkaji mewujudkan peraturan baru yang lebih ketat sebelum membenarkan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke negara tertentu, seperti Pakistan bagi mengelak dipengaruhi unsur militan.

Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad,
Kementerian Luar sedang berbincang dengan Pakistan
mengenai masalah itu bagi menentukan kaedah sesuai
sebelum peraturan dilaksanakan.

Nasim bagaimanapun enggan mengulas mengenai
perbincangan itu, sebaliknya mempertahankan dasar luar Pakistan mewajibkan pelajar Malaysia mematuhi
peraturan itu dan tidak memasuki negara itu secara
haram.

Selagi penuntut Malaysia mendapat kelulusan Wisma
Putra dan tidak terbabit kegiatan berunsur militan,
mereka dibenarkan melanjutkan pelajaran ke Pakistan,
katanya.

Katanya kira-kira 350 pelajar Malaysia kini menuntut
di Pakistan dan tertumpu di Karachi serta Lahore.

Sementara itu, menurut sumber pejabat Pesuruhjaya
Tinggi Malaysia di Pakistan, kerajaan negara itu
mewajibkan pelajar luar mendapat sijil kelulusan (NOC)
dari Kementerian Luar mulai akhir tahun lalu.

Katanya, peraturan itu dikuatkuasakan apabila krisis
keganasan puak militan meningkat dan Pakistan
dikaitkan sebagai pusat kegiatan militan kerana
berjiran dengan Afghanistan.

Presiden Persatuan Warga Malaysia (Wargamas) di
Pakistan, Mohamad Khair Razman Anuar pula berkata,
kira-kira 350 pelajar Malaysia menuntut di Pakistan
menjadi ahli persatuan itu.

Beliau berkata, Wargamas di bawah naungan Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Sopian Ahmad, bertanggungjawab menjaga
kebajikan rakyat Malaysia di Pakistan yang jumlahnya
dianggarkan seramai 400 orang.

Wargamas yang ditubuhkan September tahun lalu
berfungsi sebagai badan yang menjaga kebajikan rakyat Malaysia termasuk pelajar, katanya yang juga
Setiausaha Utama/Ketua Chanseri Pesuruhjaya Tinggi
Malaysia di Pakistan.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada badan khas
memantau kegiatan pelajar Malaysia tetapi jika ada
laporan pelajar menyertai kegiatan militan, pihaknya
boleh mengambil tindakan seperti menghantar pelajar
pulang.


Halaman Utama

 

Oleh:

Berita Harian

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved