StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Tuesday, February 19, 2002 7:42 AM

Mengapa peratus mengundi kampus merosot?


Oleh
Black, FRAKSI

Pilihanraya kampus baru sahaja berakhir dimana kita dapat saksikan kumpulan-kumpulan yang pro kepada dasar kerajaan ( baca: UMNO dan Barisan Nasional ) menyapu bersih kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa di 6 IPTA. Sedangkan sejak zaman Reformasi kita dapat saksikan kumpulan-kumpulan pelajar yang tidak selari matlamat perjuangannya dengan pemerintah menguasai hampir keseluruhan IPTA tanahair.

Mengapa perkara ini berlaku? Gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh sedikit sebanyak telah mempengaruhi situasi politik didalam kampus. Anwar Ibrahim yang telah dijulang sebagai wira mahasiswa era 1970an kerana kelantangan dan keberaniannya dalam menyuarakan kemiskinan dan penindasan yang dilakukan terhadap rakyat.

Sebab itulah sebaik sahaja Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam kabinet Dr. Mahathir Mohammad, mahasiswa menjadi marah. Manifestasi kemarahan mahasiswa diterjemahkan dengan memilih kepimpinan mahasiswa yang anti-establishment.

1998 dan 1999 adalah tahun-tahun kampus bergolak. Pada ketika itu banyak sekali forum-forum dikampus yang membincangkan tentang situasi politik semasa dan hancurnya kebebasan sistem kehakiman selepas sahaja Hakim Augustine Paul menjatuhkan hukuman bersalah semasa Anwar Ibrahim dibicarakan dimahkamah. 14 April 1999 akan terus dikenang sebagai hari-hari gelap di Malaysia dimana runtuhnya kebebasan sistem kehakiman .

Selepas hakim menjatuhkan hukuman bersalah kepada Anwar Ibrahim, kita dapat saksikan protes-protes kemarahan rakyat pada 14, 15 dan 16 April 1999 yang dikepalai oleh mahasiswa dan Parti Keadilan Nasional yang pada ketika itu sahaja ditubuhkan.

GMLN, DEMA, PKPIM dan GAMIS telah menghantar memorandum kepada Ketua Hakim Negara sebaik sahaja Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah. Memorandum mereka diantaranya mempersoalkan tentang campurtangan politik kedalam sistem kehakiman.

Ketika menggepalai penentangan rakyat terhadap sistem kehakiman yang telah dicabuli oleh tangan-tangan politik yang tidak mahu sistem kehakiman berjalan dengan telus dan adil didalam menghakimi sesuatu kes yang ada kaitannya dengan kekuasaan pemerintah, mahasiswa-mahasiswa yang terlibat sering menjelaskan kepada rakyat bahawa mereka-mereka ini bukanlah telah diperalatkan oleh parti pembangkang tetapi adalah kerana mereka mendokong " People Power ". " People Power " yang dimaksudkan ialah kebangkitan rakyat melalui saluran selain daripada pilihanraya. Tetapi apa yang diperkatakan ini belum tentu suara majority masyarakat kampus.

Mahasiswa-mahasiswa yang lebih advance biasanya akan membincangkan tentang Autonomi Kampus dan kebebasan akademik berbanding dengan majority masyarakat kampus yang hanya memikirkan tentang hari graduasi dan tarikh perkahwinan. Mereka-mereka ini adalah golongan mahasiswa teramai. Mereka akan mengambil tahu tentang perkara-perkara yang punyai kepentingan tentang mereka seperti pinjaman, makanan, keselesaan dan hiburan.

Sebab itu kita boleh lihat mengapa hati mereka akan tersentuh apabila kesusahan datang kepada mereka seperti pinjaman masuk lambat sehingga menyebabkan mereka terpaksa makan biskut dan minum air kosong. Perkara kebajikan mahasiswalah yang sering dilupakan oleh pemimpin-pemimpin pelajar dikampus. Oleh kerana mereka ini terlalu memperjuangkan agenda parti politik luar kampus yang tertentu, secara tidak sedar mereka telah menjadi catur kepada parti politik luar kampus.

UMNO dan PASlah yang telah merosakkan imej mahasiswa dikalangan rakyat. Sebab itulah pelajar-pelajar pada hari ini begitu lembik dan lesu. Kesedaran untuk berpersatuan dan membincangkan tentang perkara-perkara asas kebebasan seperti berhimpun secara aman dan menyatakan pandangan secara terbuka telah dilupakan.

Oleh kerana terlalu ghairah untuk menjadi wakil-wakil rakyat dan merebut jawatan dalam parti-parti politik tertentu, pemimpin-pemimpin pelajar yang seharusnya bekerja siang dan malam untuk menjaga kebajikan mahasiswa telah melupakan amanat kawan-kawan kepada mereka kerana terlalu ghairah memperjuangkan agenda-agenda politik UMNO atau PAS.

Sebab itu kita dapat lihat warga kampus sudah muak dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti. Rata-rata mereka sudah bosan dengan oportunis-oportunis yang telah memperalatkan jawatan pemimpin pelajar sebagai tiket untuk menjadi ahli politik.

Sedar atau tidak, manifestasi kemarahan mereka diterjemahkan dengan tidak turun mengundi sehinggakan Universiti Utara Malaysia terpaksa mewajibkan semua pelajar untuk keluar mengundi. Sebab itulah Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti tidak boleh diiktiraf kerana ia bukanlah dipilih oleh majoriti masyarakat kampus. Ia bukanlah suara sebenar masyarakat kampus.

Suara sebenar masyarakat kampus ialah isu kebajikan mahasiswa. Isu duit pinjaman lambat masuk, isu sistem makanan, isu pengangkutan mahasiswa untuk ke dewan kuliah, isu parking dan isu kelas tidak cukup seringkali menjadi persoalan dikalangan warga kampus sehinggakan mereka tidak sempat untuk memikirkan soal kebajikan rakyat.

Selain daripada itu, mahasiswa seringkali diperbodohkan oleh HEP universiti sehinggakan mereka menjadi begitu masak untuk diletupkan. Di UiTM umpamanya, pengawal-pengawal keselamatan telah bertindak seperti polis yang begitu zalim terhadap mahasiswa sehinggakan dua bulan yang lalu ada kejadian mahasiswa memukul pengawal keselamatan sebagai manifestasi kemarahan mereka terhadap kezaliman.

Pencabulan Autonomi Universiti yang dilakukan oleh pemerintah diktator Mahathir Mohammad telah menyebabkan universiti sebagai tempat untuk rakyat menuntut ilmu dan kebenaran telah berfungsi sebagai kilang yang mengeluarkan produk-produk yang akan dipergunakan oleh kerajaan pada masa akan datang. Jangkamasa graduasi yang sepatutnya dalam tempoh 4 tahun telah disingkatkan kepada 3 tahun untuk mempercepatkan lagi waktu untuk mempergunakan produk-produk ini.

Dikampus UPM umpamanya kita dapat saksikan bagaimana HEP telah bertindak sebagai alat pemerintah untuk memperalatkan mahasiswa untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Pencabulan hak asasi mahasiswa di UPM telah berada dikemuncaknya sehinggakan kebebasan mahasiswa untuk memilih fesyen rambut mereka sendiri telah dicabuli. Mahasiswa lelaki UPM yang memilih fesyen berambut panjang akan didiskriminasikan dari segi layanan HEP. Pelajar yang berambut panjang akan dirampas kad matriknya oleh pegawai keselamatan sehinggakan mereka tidak dapat masuk ke dewan peperiksaan.

Tetapi masalah ini semua tidak pernah diperjuangkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti. Pemimpin-pemimpin mahasiswa lebih ghairah untuk memperjuangkan ideology parti-parti politik anutan mereka.

Penurunan peratusan megundi dikalangan mahasiswa jatuh semenjak tahun 1980an. Mahasiswa seakan-akan marah dengan HEP dan Majlis Perwakilan Mahasiswa. Di UPM baru-baru ini peratusan mengundi hanyalah 40.51 peratus. Ini bukanlah suara majoriti. Mana mungkin Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM mengakui bahawa mereka adalah suara hati masyarakat kampus ? Sedangkan majoriti mahasiswa tidak mengundi mereka. Kerana apa perkara ini berlaku?

Ini adalah kerana mahasiswa sudah muak dengan agenda politik kepartian yang sering dibawa oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa yang telah menjadi boneka kepada parti politik luar. Sudah tentu rakyat kecewa dengan apa yang berlaku. Titik peluh dan keringat mereka sudah dilupakan oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa yang gilakan kekuasaan. Sebab itu gagasan mahasiswa independen yang dibawa oleh kami harus dikaji oleh mahasiswa.

Jangan menjadi terlalu taksub kepada kumpulan-kumpulan pelajar tertentu. Dengan membuang sikap taksub barulah pemikiran kita boleh dibuka.

Barulah kita dapat melihat siapa betul dan siapa salah. Budaya debat haruslah dikembalikan didalam kampus. Ilmu yang seharusnya dijunjung. Menjadi seorang yang berilmu bukan semestinya menjadi ulat buku yang hanya terperap didalam bilik.

Jadilah manusia yang tahu bagaimana untuk mempraktikkan teori-teori yang telah dipelajari. Janganlah kita biarkan diri kita menjadi pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan tetapi buta dalam mempraktikkan sesuatu ilmu. Sesuai dengan hadis Muhammad S.A.W yang bermaksud " Ilmu tanpa amal, Ibarat pokok yang tidak berbuah".

Mahasiswa bersatu tidak akan dikalahkan!

Mahasiswa untuk mahasiswa dan rakyat!

Hidup Mahasiswa!!!!!! Hidup Rakyat!!!!!!!

Yang Menjalankan Tugas,

Black
Front Mahasiswa Untuk Demokrasi ( FRAKSI )

 


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved