StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Kehidupan kampus dalam bahaya


Oleh: ASTORA JABAT

Cerita sebuah universiti tempatan menjadi pangkalan pergerakan pemberontakan Islam luar negara sedikit masa lalu tidak diketahui orang awam. Begitu juga cerita orang CIA menjadi pensyarah universiti berkenaan.

Tetapi orang atasan mengetahui perkara ini. Malah, mereka juga mengetahui ada tangan luar cuba mengharu-birukan pemikiran mahasiswa.

Pada tahun 70-an, umpamanya, seorang lelaki Barat berpura-pura memeluk Islam merupakan orang yang sangat aktif dalam mengadakan usrah di universiti-universiti.

Kini universiti-universiti tempatan nampaknya menghadapi bahaya seperti dirancang oleh pihak luar itu.

Pokoknya, apa yang penulis dapat merumuskan berdasar kepada pengalaman peribadi semasa sempat menghadiri beberapa perjumpaan dengan mahasiswa ialah kehidupan kampus betul-betul berada dalam bahaya kerana penularan fahaman agama sempit, dogmatik dan radikal di kalangan mahasiswa.

Perjumpaan terakhir penulis dengan mahasiswa ialah pada majlis dialog anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, pada 11 Februari lalu.

Majlis dialog itu, berdasarkan kepada persetujuan penulis dengan pihak penganjur, diadakan dengan matlamat untuk mendedahkan para pelajar kepada pemahaman agama yang pragmatik, fleksibel dan proaktif melalui perbincangan pelbagai penjuru yang melibatkan penulis sebagai seorang yang banyak membincangkan isu-isu agama, kumpulan pelajar berfikiran terbuka yang menyokong kerajaan, kumpulan pelajar yang menyokong pembangkang (Pas) dan kumpulan pelajar berkecuali yang merupakan kumpulan terbesar di UUM.

Bagaimanapun, matlamat itu tidak kesampaian apabila kumpulan pelajar yang menyokong pembangkang mengganggu majlis dialog itu dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sesuai dilakukan oleh mahasiswa seperti membuat bising, bersorak dan mengeluarkan kata-kita tidak sopan.

Penulis hanya sempat memulakan mukadimah dialog dengan membentang tiga tajuk untuk dibincangkan, iaitu (1), apa yang diislam dan tidak diislamkan dalam Islam, (2) perbezaan antara Islam dan pemikiran Islam dan (3) perbezaan antara fatwa dan pandangan.

Dalam sesi perbincangan, puak pembangkang dibenarkan bercakap panjang lebar tanpa diganggu, tetapi mereka mengganggu setiap kali penulis bercakap atau memberi jawapan.

Semua itu terjadi kerana mereka membawa perbalahan politik dalam peringkat negara ke majlis dialog malam itu. Malah, majlis dialog itu juga diancam oleh perbalahan politik kampus. Ini kerana golongan kecewa dalam politik kampus yang dikenali sebagai golongan merah (Pas) mengambil peluang menjadikan majlis dialog berkenaan sebagai tempat untuk melepas geram dan membantai golongan mahasiswa berfikiran terbuka (penganjur).

Apa yang penulis kata bahawa kehidupan kampus berada dalam bahaya bukan kerana mahasiswa berpuak-puak.

Berpuak-puak adalah perkara lumrah dan dianggap sah menurut pandangan Islam. Tetapi mestilah bijak berpuak-puak dan sentiasa berpegang kepada konsep perbezaan pandangan itu diharuskan dalam Islam itu.

Bukti kita boleh berpuak-puak ialah kita kini berpegang dengan bermacam-macam mazhab, tetapi dapat hidup bersama dengan aman damai.

Jika ada orang Islam bergaduh sesama sendiri kerana berlainan puak dan mazhab itu sudah tentu merupakan golongan tidak bijak dan tidak berpegang kepada konsep perbezaan pandangan yang diharuskan dalam Islam itu.

Gejala itu terdapat di kalangan orang Islam yang mundur dalam pemikiran agama seperti sesetengah kalangan di negara-negara Arab, Pakistan dan Iran. Mereka ini sanggup bermusuh dan berperang sesama sendiri kerana berlainan puak dan mazhab.

Di Malaysia model itu dibawa oleh Pas dan model inilah yang mengancam kehidupan kampus kini.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved