StatTrack
free web hosting | website hosting | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
Free webhosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, March 18, 2002 9:42 PM

Faktor yang membawa kepada sikap rajin pelajar Tiong Hua


Terjemahan: Suntzi Jr (suntzi-junior@care2.com)

Ketua Nazir Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Dato' Abd Rahim Tahir berkata tenaga pengajar dan pelajar di sekolah Cina rata-ratanya rajin dan komitet terhadap akademik, di samping keperihatinan ibu bapa mereka terhadap soal pendidikan anak mereka.

Hakikatnya, sekolah-sekolah yang Dato' Abd Rahim telah lawati seperti Chung Ling, Jit Sin dan lain-lain lagi adalah sekolah menengah jenis kebangsaan, yang tiada apa-apa kelebihan berbanding sekolah-sekolah menengah kebangsaan yang lain, tapi hanyalah buku teks bagi subjek Mandarin. Jika dilihat dengan lebih halus, sebenarnya tiada perbezaan yang ketara di antara sekolah menengah jenis kebangsaan (SMKC) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK), yang beza hanyalah subjek Mandarin disenarai sebagai subjek wajib, itu saja.

Majoriti pelajar Tiong Hua yang menyambung pelajaran di SMKC rata-ratanya berasal dari sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Jika pelajar tiong Hua SMKC dianggap rajin, kerajinan tersebut sebenarnya sudah terbentuk sejak mereka masih di SJKC lagi. Seperti mana pelajar SMK yang sudah tertanam sikap rajin semasa di peringkat sekolah rendah lagi, jika kesinambungan kerajinan itu didorong pengaruh rakan sebaya yang positif, konsistensi kerajinan itu akan dapat dikekalkan diperingkat sekolah menengah.

Pada hakikatnya, kaum Tiong Hua menitikberatkan pendidikan, dan pelajar Tiong Hua begitu komitet dengan pelajaran mereka, fakta ini telah sering kali dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir.

Terdapat pelbagai factor yang mendorong kepada sikap komitet terhadap pelajaran seperti yang telah disebutkan tadi. Secara tradisinya, masyarakat Tiong Hua zaman dahulu begitu yakin dengan nilai bahawa pendidikan itu adalah asas kepada usaha mereka mendapat jawatan dalam kerajaan, dan pencapaikan pendidikan yang cemerlang lebih menjamin prospek kerjaya mereka dalam sector kerajaan. Malah timbulnya hujah bahawa belajar itu adalah sikap yang terbaik berbanding sikap-sikap lain. Nilai tradisi ini telah diwarisi sejak turun-temurun sehingga ke zaman sekarang.

Namun nilai tradisi tersebut tidak begitu dominan dalam membentuk sikap rajin pelajar Tiong Hua masa kini, kerana mereka tahu pada era sekarang keutamaan pendidikan bukan hanya terletak kepada prospek merebut jawatan kerajaan. Yang menjadi pemangking kepada kerajinan mereka adalah kesedaran bahawa lagi cemerlang pencapaian akademik mereka, peluang mereka melanjutkan pelajaran ke universiti lebih terjamin.

Atas kesedaran itulah, kanak-kanak Tiong Hua yang hanya mencecah usia 5 hingga 6 tahun telah dihantar ke kindergarten dan mula merasai pahit-manis kelas tambahan (tuition) pada peringkat pengajian darjah satu. Bagi majority waris Tiong Hua, ini adalah satu beban hidup yang wajib mereka pikul demi memupuk dedikasi anak mereka terhadap pendidikan.

Rata-rata pelajar Tiong Hua masih mengambil kelas tambahan ketika menjejak peringkat sekolah menengah, dan lagi ramai anak yang bersekolah, lebih berat i beban kos pendidikan yang perlu ditanggung ibubapa. Ibubapa bertungkus-lumus menyekolahkan anak mereka hanya kerana satu tujuan - pencapaian akademik yang cemerlang sebagai passport masuk universiti.

Sedihnya tradisi menyekolahkan anak ini sering disalah erti sebagai satu sikap mencari jalan mudah dengan menyelesaikan masalah pendidikan anak-anak dengan wang ringgit.

Apabila pelajar Tiong Hua memasuki tahap sekolah menengah, mereka sedar bahawa mereka perlu mempunyai pencapaian akademik yang cukup cemerlang bagi melayakkan diri ke menara gading. Maka apabila mereka berjaya ditempatkan di sekolah-sekolah di mana pelajar-pelajar Tiong Hua yang rajin membentuk komuniti majority sekolah, persaingan untuk memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang itu secara tidak langsung membentuk satu budaya persaingan akademik yang sihat dan progresif.

Kesimpulannya, keperihatinan ibubapa kaum Tiong Hua terhadap pelajaran anak mereka dan kerajinan pelajar Tiong Hua mengejar kecermelangan akademik hanya didorong satu objektif - Masuk universiti. Mereka sedar peluang untuk menyambung pelajaran ke menara gading adalah terhad, maka mereka terpaksa memerah kudrat dan berkerja keras. Peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading yang terhad telah menanam satu persepsi Do or Die dalam minda pelajar Tiong Hua.

SMK dan SMKC adalah di bawah kategori sekolah yang sama. Tenaga pengajar SMK adalah dilatih oleh Kementerian Pendidikan, buku teks yang digunakan sama dengan SMKC dan SMK menerima subsidi penuh kerajaan. Ternyata jelas, SMK adalah jauh lebih baik berbanding SMKC dari pelbagai segi. Kalau hendak diungkit kelemahan yang ada pada SMK, hanya boleh dikatakan bahawa pelajar SMK lebih terpengaruh dengan persepsi Comfort Zone di mana mereka sedar bahawa peluang untuk masuk menara gading sudah tersedia tanpa perlu bertungkus lumus dalam pelajaran. Apa yang perlu dikhuatiri jika tempat masuk universiti itu sudah terjamin?

Kalaulah nisbah peluang pelajar SMK masuk universiti adalah sama dengan pelajar di SMKC, sudah tentu budaya persaingan akademik di SMK akan setanding, kalau bukan lebih baik, daripada SMKC.

*Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel yang diterbitkan oleh Sin Chew Jit Poh pada 1 March 2002. Sila rujuk artikel sebenar jika terdapat sebarang kemuskilan.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved