StatTrack
free web hosting | website hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, March 21, 2002

Pilihanraya Kampus - Untuk Apa ?


Oleh : Zali Ariffin

Pilihanraya kampus tampaknya diberi perhatian luas dan menjadi fokus debat utama kalaupun tidak propaganda berpihak di laman web mahasiswa. Dalam seluruh gah pilihanraya kampus, amat jarang dipertanyakan orang adalah apa perlunya pilihanraya kampus ini dan sejauh mana ianya menyumbang - baik kepada negara atau kepada sistem pendidikan itu sendiri.

Sebelum itu haruslah diingat bahawa pilihanraya kampus ini dihebohkan dan menjadi bualan apabila ianya dilihat sebagai pertentangan antara PAS dan UMNO secara satu lawan satu. UMNO dikatakan risau kerana pelajar didekati dan diformat untuk berpihak dan bekerja untuk PAS. PAS pula mendakwa UMNO berkata begitu kerana mahasiswa tidak berpihak kepada UMNO. Jika berpihak, maka tidaklah jadi soal parti politik masuk kampus.

Sebelum itu, gerakan pelajar dianggap menjadi suara desakan rakyat yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap penganiayaan pihak tertentu. Kali ini walaupun slogan dan suaranya tidak jauh berbeza namun keakraban gerakan mahasiswa dan parti pembangkang begitu jelas hingga ibaratnya persatuan mahasiswa itu adalah sayap kiri PEMUDA pembangkang.

Marilah kita rujuk asal semangat keizinan pilihanraya kampus. Pada asalnya pilihanraya kampus diadakan sebagai pendidikan dan pendedahan awal mahasiswa terhadap mekanisme terpenting demokrasi iaitu pilihanraya sebenar. Malah seorang pegawai kanan kerajaan yang saya temui - beliau tidak mahu namanya disiarkan - mengatakan ianya diadakan atas dasar pendidikan demokrasi. Jika ia dihapuskan bermaksud, bagi beliau ada usaha mahu menghapuskan demokrasi di bumi Malaysia ini.

Apa yang menarik ialah ruang pendidikan dan pendedahan awal ini tidak diberikan struktur dan bentuk secukupnya supaya boleh mengawal dan mengelak dari anasir-anasir yang tidak diingini dan juga supaya motif pendidikan pilihanraya itu dapat dioptimakan sewajarnya agar pada akhirnya mahasiswa dapat memahami mekanisme dan semangat pilihanraya yang sebenar.

Apa yang berlaku ialah para mahasiswa teraba-raba mencipta bentuk dan struktur pilihanraya mereka kerana struktur dan prosedur pilihanraya kampus agak longgar pada awalnya. Kerana tidak adanya pengajaran khusus, para mahasiswa ini mengambil model luar - politik arus perdana sebagai rujukan utama. Inilah yang membuka pintu kepada kemasukan ideologi parti sehingga ahirnya pilihanraya kampus dianggap medan melatih kader parti politik dan menguji `kekuatan' dan kesabaran kerajaan.

Saya tidak tahu mengapa pilihanraya kampus ini dibiarkan longgar begitu dan tidak ada misalnya kelas khas mengenainya supaya pengetahuan mahasiswa itu lebih terarah. Kita mendidik selama ini menggunakan peraturan pilihanraya yang hari ini dianggap berpihak.
Ada peraturan pilihanraya yang didakwa sengaja digubal oleh pihak universiti dan kerajaan untuk memenangkan pihak tertentu - tidak semestinya kerajaan.

Barangkali jika ada pihak berkenaan yang membaca artikel ini dapat memberikan penjelasan lanjut.

Sebagai mekanisme pendidikan sumbangan pilihanraya kampus hanyalah menyediakan mahasiswa dengan pengalaman berkempen, bertanding dan mengundi. Namun hari ini ruang pengalaman itu dibesarkan dengan penglibatan strategi, unsur subversif dan perang saraf, pembinaan imej dan sebagainya yang barangkali bersesuaian dengan kemajuan pilihanraya semasa tetapi perlahan-lahan merosakkan nilai murni mahasiswa itu sendiri.

Inilah yang harus difikirkan. Apakah atas nama pendidikan, maka pilihanraya - walaupun hari ini ianya jelas merosakkan semangat kerjasama dan perpaduan sesama kita, maka ianya tetap dipertahan ?

Sumbangan pilihanraya dalam melahirkan mahasiswa graduan kelas pertama boleh dikatakan tidak ada mengena dan jika kewujudannya sekadar hanya mahu mendidik dan memberi gambaran demokrasi, maka hari ini saya melihatnya sebagai satu liabiliti - beban kepada para mahasiswa.

Apa perlunya pilihanraya kampus kepada mahasiswa ? Sekadar untuk memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang biasanya tidak semuanya bekerja untuk menjaga kebajikan seluruh mahasiswa - saya fikir tidak perlu. Biasanya MPP hanya menjaga kepentingan puak-puak mereka. Inikah yang ingin kita semai ?

Sebagai alternatif - jika MPP itu masih diperlukan, maka saya fikir Timbalan Naib Canselor boleh saja melantiknya. Kebaikkannya jika mereka ini dilantik, maka mereka boleh dipecat pada bila-bila masa oleh TNC jika didapati menjejaskan nama baik universiti. Jika ditiadakan terus pun, saya fikir bermanfaat juga. Kurang satu aktiviti tidak berfaedah dalam dunia mahasiswa dan mereka akan dapat pula secara teorinya menumpukan fikiran dan tenaga kepada usaha untuk menjadi cemerlang khususnya dalam bab akademik dan kemahiran.

Barangkali akan ada pihak yang mencadangkan pilihanraya kampus dikekalkan atas semangat demokrasi - Cuma ianya dipantau dengan cara yang lebih efisien dan diberi bentuk dan prosedur yang jelas motif dan keberkesanan pendidikannya.

Satu idea - tetapi bagi saya ianya masih membazir jika hanya dikuatkuasakan di IPTA semata. Apa relevannya pilihanraya kampus dalam suasana ilmu dan pekerjaan hari ini ? Fakta yang tidak dapat dinafikan adalah IPTS tidak begitu mengambil berat akan soal pilihanraya ini. Malah ada IPTS yang pelajarnya datang belajar lalu balik. Tidak ada aktiviti ko-kurikulum langsung !

Sewaktu para mahasiswa IPTA bergelut dengan pilihanraya kampus, mahasiswa IPTS - yang kebanyakkannya terdiri dari kelas menengah dan bukan Melayu menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk menjadi pelajar cemerlang supaya kerajaan - atau pihak tertentu - mahu tidak mahu terpaksa memberikan mereka laluan dan bantuan.

Adakah ini bermaksud mahasiswa bukan Melayu ini buta politik ? Jika kita ikuti perjuangan DEMA, dan pemilihan politik bangsa Cina misalnya, kita akan dapati mereka lebih dulu mengamalkan politik matang dari Melayu. Dalam soal-soal yang melibatkan kepentingan bangsa mereka, sama ada pembangkang mahupun parti Cna dalam Barisan Nsional, sedia mengenepikan pendapat mereka dan bersatu.

Adakah pelajar Cina ini tidak komited dalam perjuangan politik mereka - kerana mereka tidak aktif semasa di kampus ? Lihat sahaja Lunas dan Indera Kayangan. Jentera KeAdilan Cina terdiri dari mereka yang masih muda - sekitar 20an dan mereka ini begitu komited dan agresif.

Fakta juga bahawasanya pilihanraya kampus ini memecahbelahkan kesatuan pelajar Melayu dalam kampus. Fakta juga bahawa hampir seluruh pemimpin pelajar IPTA tidak berjaya meraih ijazah kelas pertama.

Soalan besarnya ialah jika ianya boleh diwajibkan kepada IPTA mengapa IPTS kelihatan dilonggarkan ? Mengapa tidak disama tarafkan ? Hujah bahawa wujudnya pilihanraya ini di IPTA adalah satu hak eksklusif untuk mahasiswa khusus di IPTA sahaja yang kononnya menampakkan mereka ini elit. Ini retorik kosong. Faktanya kemudahan pengajaran dan pembelajaran di IPTS adalah jauh lebih hebat. Ada tanggapan di kalangan ibu bapa bahawa tenaga pengajar di IPTS itu jauh lebih baik dari IPTA kerana IPTS menawarkan gaji yang jauh lebih lumayan berbanding IPTA.

Adalah juga satu fakta bahawa para lulusan IPTS tertentu terjamin kedudukannya di pasaran pekerjaan dan seringkali menang mudah jika bersaing dengan mahasiswa IPTA.

Jika hak eksklusif - berpilihanraya ini - tidak menyumbang kepada lahirnya mahasiswa yang bijaksana, komited dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan ; apa perlunya pilihanraya ini dibebankan kepada pelajar IPTA ?

Saya beranggapan retorik hak eksklusif ini tidak lebih dari satu dodoian supaya mahasiswa kita leka seterusnya lupa kepada masalah semasa dan kelupaan mereka ini - adalah satu ancaman yang besar kepada survival agama, bangsa dan negara di masa akan datang.

Perlu ditegaskan di sini, saya menyeru dihapuskan politik kampus bukan kerana UMNO atau PAS. Bagi saya, baik PAS mahupun UMNO, jika keduanya masuk kampus alamatnya tunggang langganglah jadinya kerana mereka akan berusaha melahirkan kader dan pengundi setia bukan graduan kelas pertama. Saya yakin berdasarkan pengalaman lepas, baik PAS mahupun UMNO kedua-dua belah pihak ini akan menghalalkan apa sahaja cara demi mencapai matlamat mereka dan ini adalah satu ancaman maha besar terhadap kosenstrasi pelajar dan kemurnian ilmu.

Ringkasnya, saya menyeru penghapusan politik kampus kerana ianya tidak menyumbang ke arah melahirkan graduan kelas pertama yang dapat menyumbang secara lebih berkesan kepada pembangunan agama, bangsa dan negara dan juga kerana pilihanraya kampus itu bersifat berat sebelah - hanya di IPTA sahaja.

Hari ini jika seluruh IPTS juga diwajibkan mengadakan pilihanraya ianya tidaklah juga bermanfaat kerana ancaman senario semasa terhadap survival agama, bangsa dan negara memutuskan bahawa kita perlu lebih ramai graduan kelas pertama dalam semua bidang khususnya yang berteraskan sains dan teknologi akan datang lebih penting untuk ditangani lebih dulu pada kadar segera berbanding dengan perlunya mahasiswa itu berpilihanraya.

Saya sedar, jika pilihanraya ini dihapuskan, maka pihak pembangkang misalnya akan mengwar-warkan bahawa ianya adalah cubaan kerajaan untuk menghapuskan kader dan sarang PAS di IPTA. PAS dan kerajaan harus duduk bersama berbincang apakah kita pada hari ini demi survival (asal hidup) - bukannya kecemerlangan agama, bangsa dan negara, kita tidak punya banyak pilihan lain. Jika PAS tidak setuju pun, dari sudut jangka panjang, saya fikir ianya akan tetap menguntungkan Islam. Tetap memanfaatkan Melayu.

Saya boleh sahaja tersilap. Tetapi mari kita fikirkan bersama akan peri pentingnya graduan Melayu-Islam kelas pertama dalam aspek keutuhan dan pembangunan serta ketuanan Islam dan Melayu di Malaysia ini. Apakah kita punya pilihan lain ?

Jelasnya, sesuatu perlu dilakukan dan masa adalah musuh yang abadi lagi setia. Barangkali fikiran anda jauh lebih baik. Mengapa tidak kita kongsikan bersama ?


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved