StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Peradaban Yang Luka


Helme Hanafi, Suaraanum.com

Socrates, seorang tua berwajah buruk, dalam usia hampir 70 tahun dituduh tidak percaya dewa-dewa dan merosakkan jiwa anak muda. Beliau dibicarakan dan ketika diberi peluang untuk membela diri- beliau menganggap dirinya "sejenis lalat pengganggu," (langau) yang "diberikan kepada negeri ini oleh tuhan."

Katanya, negara seperti juga lembu raksasa, "yang lambat geraknya kerana ukuran yang besar itu," kerana itu memerlukan langau "agar digeletek jadi hidup."

Mungkin inilah ibarat mudah apa yang terjadi beberapa minggu sudah antara sekelompok penulis dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sekumpulan lalat pengganggu - atau dalam bahasa daerah saya di Kedah dikenali sebagai langau - akan menghurungi lembu dan lembu bergerak mengipas-gipas ekornya - agar lembu tidak terlalu tenang dalam lena kekenyangan.

Dalam suasana yang tenang dan tidak ada perbahasan-perbahasan besar menarik minat massa. Di saat para ulama hanya berpusing dan berlegar di sekitar lingkarannya sahaja dengan rasa aman. Ketika suara dan pandangan ulama hanyalah 'cop getah' pemerintah. Umat memerlukan lalat-langau jenis ini untuk menghidupkan kembali suasana dan menyedarkan ulama dari mimpi-mimpi syurganya.

Lalat-langau jenis intelektual yang cuba menafsir agama berdasarkan pemahaman dan pengamatan melalui pembacaan dan kajian orang lain. Lalat-langau yang tidak besar jumlahnya tetapi pemikiran dan tulisannya berpengaruh kepada orang awam. Lalat-langau ini sering menimbulkan semacam teori baru yang bersalahan dengan teori lama hingga menimbulkan rasa kurang senang PUM. Atas rasa tanggungjawab 'orang yang mempertahankan Islam' maka persatuan ulama bersama beberapa NGO Islam menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja.

Memorandum tersebut yang mahukan pihak berkuasa dalam pertadbiran agama Islam negara ini memutuskan pihak sebenar yang harus dirujuk terhadap sebarang pertikaian yang timbul mengenai ayat-ayat Quran dan hadis nabi - semacam bimbang dominasi hegemoni yang terganggu.

Beberapa tahun sudah, ketika masih lagi belajar, saya dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasikan satu forum dengan tajuk 'Konspirasi musuh-musuh Islam'. Antara ahli panel yang kami setujui untuk dijemput adalah Ust Ghani Samsudin yang ketika itu adalah Timbalan Yang Dipertua PUM. Beliau bersetuju tetapi disaat-saat akhir memutuskan untuk menghantar Ust Ishak Sulaiman yang ketika ini adalah Setiausaha Agung PUM.

Malam itu - Ishak Sulaiman berbicara panjang lebar tentang orientalis dan konspirasi musuh Islam. Katanya, "Orentalis telah dihantar ke Timur untuk mendalami peradaban Timur (baca: Islam) dengan tujuan mencari kelemahan-kelemahan yang boleh mereka besar-besarkan."

Saya tidak berminat untuk menyamakan sekelompok penulis yang disenaraikan oleh PUM sebagai menghina nabi dan ulama tersebut sebagai orientalis yang dimaksudkan oleh Ishak Sulaiman malam itu. Namun yang penting untuk ditekankan adalah peranan sebenar ulama itu sendiri ketika menghadapi golongan ini.

Ulama seperti kata nabi "Warathatul Anbiya" - adalah tempat rujukan sebarang persoalan yang timbul di dalam masyarakat. Barang tentu persoalan tersebut harus dibincang dan dihujahkan. Di beri penjelasan mengapa dan kenapa begitu atau begini. Sikap dan tindakan tersebut sesuailah dengan tugas ulama selain dari mempertahankan Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Namun sejarah menjadi saksi bisu terhadap sebuah peradaban gemilang yang kemudian tenggelam. Yang gemilang dan kemudiannya tenggelam akan menghadirkan kenangan dan luka.

'A Wounded Civilization'-untuk meminjam ungkapan V.S Naipaul - atau peradaban yang luka pada Islam adalah relatif yang baru. Setidak-tidaknya setelah kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah pada akhir abad ke 20. Luka yang masih baru adalah luka yang belum sembuh.

Ketika zaman kegemilangannya, umat Islam tidak gentar mencari ilmu sehingga ke negeri China. Mereka menyalin kembali karya Yunani, melakukan terjemahan dan kajian yang kemudiannya menemukan banyak perkara. Dalam kata lain, mereka benar-benar menjalankan mandat yang diberikan Tuhan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Kini, ketika umat Islam hidup di alam luas yang rata-ratanya dikenali sebagai "Dunia Ketiga". Di takat paling rendah selepas sebuah kegemilangan. Pembesar (baca: ulama) Islam hanya memungut sisa-sisa masa silam untuk mentafsir keadaan dan suasana di sekelilingnya masa kini.

Dunia yang diluar lingkungan adalah dunia yang tidak dapat difahami dan diterima. Segala yang lahir dari dunia asing itu dicap sebagai Barat dan harus ditolak. Guna mempertahankan sebuah kepercayaan. Darinya lahir fundamentalisme. Dalam keadaan tidak dapat mengalahkan hujah dan teori asing maka sejumlah pembesar-ulama memilih untuk mengharamkan sahaja apa yang tidak dapat dikalahkannya. Erti yang lain, menghukum setiap yang berbeza dari fahamannya.

Fundamentalisme mengandungi sikap menolak dan melawan. Sehingga ada tahapnya apa sahaja yang datang dari Barat dianggap bertentangan dengan Islam. Maka eksperimen ilmiah, eksperimen kesenian, warna-warni kebudayaan, teori dan hujah yang bukan dari lingkungan cenderung dijauhi.

Pun begitu - sekumpulan lalat-langau telah membangkitkan prihatin golongan ini. Mereka yang terganggu dengan kenyataan pihak luar terhadap ilmu dan kepakaran mereka telah melenting. Terasa seakan ada pihak mahu mengambil dominasi hegemoni mereka terhadap penafsiran dan pemahaman agama.

Apa yang dihujah dan dipersoalkan oleh golongan penulis terbabit telah membuka ruang dialog sebenarnya. Kuncinya adalah sikap keterbukaan dan kesediaan untuk mendengar dan berhujah dalam suasana yang aman dan tenang.

Islam tidak pernah menutup pintu terhadap kebebasan bersuara. Apatah lagi untuk menghukum setiap yang berlainan dengannya. Saya setuju kekeliruan atau salah faham terhadap Islam harus dibersihkan namun dengan cara menghukum dan menggunakan kuasa seolah-olah kita anak kecil yang hanya tahu mengadu kepada orang tua terhadap segala perselisihan yang timbul.

Mengutip cerita Antigone karya Sophocles, lanjutan cerita Oedipus Rex. Creon - tokoh yang mengantikan Oedipus - dalam dialog dengan anaknya sendiri Haemon, sewaktu Creon memerintahkan jasad anak lelaki Oedipus yang memberontak dibiar di luar kota tanpa dikuburkan. Dibantah oleh Antigone, puteri Oedipus yang masih hidup. Creon murka, tapi Haemon menyanggah ayahnya. Terjadilah diolag yang kemudiannya terkenal apabila kita bercakap soal keterbukaan.

Creon: Bukankah Antigone melanggar hukum?

Haemon: Rakyat tidak sepakat dengan tuanku?

Creom: Itulah yang kau kehendaki, kota ini menentang aku dengan segala hal yang aku titahkan.

Haemon: Kini padukalah yang berbicara seperti anak kecil!

Creon: Haruskah aku memerintah negeri ini berdasarkan pandangan orang lain?

Haemon: Sebuah negeri yang diperintah oleh seorang sahaja bukanlah sebuah negeri sama sekali.

Creon: Bukankah negeri ini milik orang yang memerintahnya?

Haemon: Hanya di gurun tak dihuni sahaja kita boleh memerintah sendirian.

Negara seperti juga agama bukan milik perseorangan. Begitu juga pemahaman dan penafsirannya. Khalid Jaafar berhujah dalam ruangan ini dengan tajuk 'Tumit Achilles'. Katanya, "Apabila Islam dikemukakan untuk mempunyai peranan yang total dalam masyarakat- yang percaya dengannya atau tidak percaya- akan terlibat dengan agama tersebut."

Hak mereka untuk bertanya dan menyoal dalam kata lain terlibat sama dalam wacana-wacana Islam, kata Khalid adalah kerana "Nasib mereka yang telah terlibat dengan Islam atau Islam yang dominan di Malaysia."

Islam yang mutlak adalah Islam yang merentas sejarah, kata Khalid. "Tapi Islam yang terlaksana kini adalah Islam dalam sejarah."

Saya sebagai Muslim - yang belajar tentang Islam hampir separuh dari usia sekarang - merasakan tindakan terbaik ketika ini adalah dialog antara PUM dan kumpulan penulis tersebut. Pihak berautoriti dalam pertadbiran agama Islam negara ini seharusnya memanggil dialog tersebut.

Bukan mencari pemenang, tetapi supaya kekeliruan dan salah faham terhadap Islam diperjelaskan dalam suasana yang lebih beradap sopan. Aman dari hiruk piruk tempikan media yang mengundang berbagai persoalan dan jawapannya sendiri.

Lebih dari itu, supaya ada yang melihat, peradapan yang luka adalah peradapan yang belum mati bahkan sedang menyembuhkan dirinya dan tidak mungkin dihabisi.

 


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved