StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Monday, February 11, 2002

YB Mahfuz: Surat Terbuka kepada semua NC/Rektor IPTA


Tarikh : 11 September 2001

Kepada;

YBhg Naib-naib Canselor dan Rektor-rektor IPTA,
Universiti Malaya (UM)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Universiti Indusrti Selangor (UNISEL)
Kolej Universiti Institut Tun Hussein Onn (KUiTTO)
Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM)
Kolej Universiti Sains Dan Teknologi Malaysia (KUSTEM)
Kolej Universiti (KUTKM)

YBhg Tuan,

SURAT TERBUKA MEMPERINGATKAN PIHAK UNIVERSITI SUPAYA TIDAK MENJADI ALAT UMNO/BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) sangat kesal dengan tindakan Kerajaan BN dan media masaan yang memberikan tekanan yang hebat terhadap pentadbiran universiti, pensyarah dan mahasiswa dalam usaha mereka memaksa golongan akademik menyokong dasar-dasar Kerajaan BN yang telah ditolak oleh rakyat. Bagi DPP Pusat, tindakan dangkal Kerajaan BN ini akan menyebab universiti akan hilang fungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu sebaliknya bertukar menjadi pusat pengumpulan ‘syaitan bisu’ dan ‘terompah kayu’ yang boleh diperkudakan oleh BN bila-bila masa sahaja.

DPP Pusat melahirkan kebimbangan ini berikutan tindakan beberapa pentadbiran universiti yang mula mengikut arah dan rentak zalim Kerajaan BN yang cuba memaksa universiti tunduk kepada mereka. Tekanan yang diberikan oleh universiti kepada para kakitangan akademik dan mahasiswa jelas menunjukkan para pentadbir universiti lebih bimbang dengan kedudukan mereka daripada menyatakan kebenaran berdasar ilmu dan nilai keintelektualan. Sikap negatif para akademik ini akan menggadai masa depan agama, bangsa dan negara ini kerana nilai-nilai sejagat seperti keadilan, kebenaran dan ketelusan telah dibiarkan untuk dibaham oleh kerakusan politik BN.

Cita-cita kerajaan selama ini yang digemburkan sebagai untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu akan menjadi sia-sia belaka. Apabila kakitangan akademik disekat daripada menyatakan kebenaran berdasarkan hujah dan fakta yang rasional, maka apalah erti sebuah universiti yang bertumpu segala ilmu. Apabila kakitangan akademik dihalang daripada menyatakan sokongan kepada kebenaran dan keadilan, maka di manakah hendak diletakkan kemuliaan ilmu. Apabila mahasiswa yang sudah matang pemikirannya disekat daripada membantah kezaliman dan penyelewengan, maka di manakah maruah pentadbir universiti yang menyalurkan ilmu dan maklumat kepada mereka? Maka sudah tentu nilai kecemerlangan hanya tinggal harapan sahaja. Segala ilmu yang membawa kebenaran hanya boleh berada dalam bentuk tulisan dibuku atau monitor komputer sahaja? Di mana maruah dan harga diri warga universiti?

Seluruh umat meletakkan nilai yang sangat tinggi kepada warga universiti. Istilah keintelektualan, kecemerlangan, keilmuan, kematangan dan kecendikiawanan adalah lambang pengharapan rakyat terhadap warga universiti supaya mereka menterjemahkan ilmu untuk menghasilkan kebenaran, keadilan dan ketelusan. Apakah status quo ini harus dinodai oleh tuan-tuan semua dengan menjadi alat kepada BN yang telah kehabisan modal untuk menarik semula sokongan rakyat. Jika rakyat di kampungan yang tidak punya kelulusan pun mulai mengerti nilai keadilan, kebenaran dan ketelusan, maka mengapakan pihak universiti harus menjual harga dirinya untuk diragut secara rakus oleh kesempitan politik BN.

Universiti juga adalah merupakan pusat pengembangan ilmu dan maklumat. Apakah menjadi kesalahan apabila para mahasiswa dan ahli akademik yang mempunyai ilmu dan maklumat membuat kesimpulan bernas terhadap pemerhatiannya ke atas apa yang terjadi di negara ini. Sewajarnya pihak universiti bersikap terbuka dengan membenarkan maklumat diakses dari semua saluran temasuk internet dan dirumuskan oleh ahli akademik dan mahasiswa supaya mereka menjadi lebih matang dan responsif terhadap persekitaran. Jika universiti hanya mahukan maklumat, tetapi kemudiannya membangkulsampahkan maklumat tersebut, maka apakah bezanya ahli akademik dengan pengayuh beca yang membaca surat khabar kemudian tidak mendapat apa-apa daripada apa yang dibacanya. Mungkin pengayuh beca lebih mulia kerana setaraf dengan ilmu yang mereka ada, maka hanya itu yang mampu dianalisisnya. Tetapi pihak universiti seolah-olah benar-benar mahu menjadikan para pensyarah dan mahasiswa sebagai ‘syaitan bisu’!

Kerana itu DPP Pusat mengingatkan semua pentadbir universiti supaya mengembalikan kegemilangan universiti sebagai pusat keilmuan. Kerajaan BN sengaja membangkit soal kelemahan pelajar, kelesuan pensyarah, kemandoman universiti daripada penemuan baru dan sebagainya. Mengapa? Kerana ada agenda politik. Mereka mahu mencari keuntungan politik daripada isu ini. Seminar-seminar untuk mencari jawapan diadakan dan orang-orang politik biasanya mendapat keuntungan percuma daripada kedangkalan pihak universiti. Mengapa universiti kita mandom? Tidak lain dan tidak bukan, kerana sekatan daripada kebebasan berfikir, bersuara dan mendapatkan maklumat yang dilakukan oleh BN ke atas universiti.

Kita masih ingat isu jerubu tiga tahun yang lalu. Seorang pensyarah daripada Jabatan Alam Sekitar UPM diberikan amaran kerana membuat kenyataan tentang masalah alam sekitar berdasarkan fakta yang rasional tetapi menyanggahi pemerintah. Lalu apakah keadaan seperti ini akan menggemilangkan universiti. Di manakh tempat yang paling banyak penemuan baru terutama dalam bidang IT di Asia? Bukan Jepun, Taiwan atau Korea. Atau Malaysia yang memiliki MSC. Tetapi sebuan negara miskin iaitu India yang mempunyai pusat IT terkemuka, Bangalore. Mengapa ini terjadi di India? Kerana India adalah sebuah negara demokrasi yang membenarkan kebebasan berfikir, bersuara dan mengakses maklumat. Faktor ini mendorong pakar-pakar India membuat penemuan baru dan ia tidak berlaku di Malaysia kerana pensyarah sudah bosan dengan sikap pemerintah terutama pentadbir universiti yang menjadi kebau dicucuk hidung oleh Umno/BN.

DPP Pusat sendiri sebenarnya sangat kesal dengan sikap pentadbir universiti yang langsung tidak mempunyai keberanian dalam menangani pencabulan Umno/BN ke atas universiti sebaliknya mereka menurut sahaja apa yang diperlakukan ke atas mereka. Di manakah dinilai keilmuan para pentadbir, pensyarah dan mahasiswa? Tidak ada satu suara pun daripada universiti yang membantah apabila Umno/BN cuba memaksa mereka menerima akujanji, menjerumuskan universiti dalam kancah politik dengan isu gerakan bawah tanah, pemecatan pelajar dan pensyarah dan sebagainya. Pihak universiti sepatut berasa malu dengan kesatuan guru-guru yang secara terbuka menolak akujanji yang mengokong mereka. Kesatuan kakitangan akademik di mana dan mengapa tidak bersuara atau telah disumbat mulut mereka dengan sejemput sogokan dan ugutan?

Akibat daripada sikap yang tidak responsif golongan elit akademik seperti universitilah maka Kerajaan BN yang ada hari ini berani melakukan apa sahaja termasuk kezaliman, penindasan, penyelewengan, kerakusan dan tipu daya ke atas rakyat. BN tahu jika elit akademik pun tidak bersuara apakan pula orang kampung yang dianggap bodoh itu akan bersuara, sudah tentu tidak. Maka lakukanlah kezaliman semahunya! Tetapi sebenarnya pihak universiti lebih bodoh daripada rakyat hari ini kerana ketika rakyat sudah mula bersuara, universiti masih boleh diperalat untuk menutup suara-suara kesedaran di sana. Di Korea, Thailand dan Indonesia, universiti menjadi hati masyarakat, tetapi di malaysia universiti telah dijadikan neraka kepada masyarakat. Memang benar kata orang, untuk menjadi pentadbir tertinggi universiti kita mesti bersedia untuk dicucuk hidung dan menggadai maruah diri dan ilmu. Universiti di Malaysia lebih rendah darjatnya daripada sekolah tadika!

DPP Pusat sebenarnya masih meletakkan harapan yang besar kepada universiti supaya menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang benar-benar besar daripada campur tangan politik yang kotor daripada BN. Universiti harus berfungsi sebagai tempat belajar dan membuat penyelidikan. Tidak cukup itu sahaja, universiti juga mesti berfungsi untuk menterjemahkan kebenaran ilmunya kepada masyarakat. Universiti juga mesti menyatakan apa sahaja kebenaran walaupun itu dibenci oleh pemerintah. Universiti mesti menentang segala bentuk kezaliman dan kemungkaran walaupun ia dilakukan oleh pemerintah. Barulah universiti akan menjadi institusi agung yang dihormati oleh masyarakat.

Akhirnya, DPP Pusat menyeru seluruh pentadbir universiti supaya kembali ke pangkal jalan dan menghalakan universiti sebagai institusi sejagat yang memperjuangkan hak dan kebenaran sejagat. Universiti mesti membebaskan diri daripada terus menjadi alat pemerintah BN. Jangan sampai rakyat hilang percaya kepada universiti kerana telah dicucuk hidung dan menjadi kuda tunggangan Umno/BN dalam mencapai matlamat politik sempit dan zalim mereka. Universiti sewajarnya terus berfungsi sebagai pusat pendebatan untuk mencari kebenaran bukannya tempat persembunyian segala kezaliman daripada didedahkan kepada rakyat. Ayuh, kita kembalikan universiti kita sebagai hati dan nurani rakyat!

Sekian, terima kasih.


HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved