StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Update on Sunday, March 3, 2002 10:32 AM

Anak Muda Menggugat


oleh : student 1974


Hari ini gelombang reformasi sedang mengampuh dan melanda semua kumpulan dan lapisan masyarakat di tanah air kita. Kesedaran politik yang dibawa oleh gelombang reformasi ini akan melahirkan satu lanskap baru untuk Malaysia. Di sini para pelajar, mahasiswa dan anak muda juga telah terpanggil sama untuk turut bergerak seirama dengan gelombang reformasi.

Pelajar, mahasiswa dan anak muda adalah sebahagian dari warga yang akan mewarisi negara ini. Justeru adalah tidak adil dan tidak munasabah jika pewaris negara ini tidak dibenarkan untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam negara. Atau tidak dibenarkan untuk mengeluarkan pandangan dan pendapat.

Sebagai kumpulan masyarakat yang prihatin; para pelajar, mahasiswa dan anak muda dapat memainkan peranan yang penting untuk sama-sama menolak dan mendobrak kezaliman dan kerenah ditaktor Mahathir. Pemerintahan kuku besi Mahathir dilihat oleh anak-anak muda sebagai cengkaman yang mengazab sengsara kehidupan semua lapisan rakyat jelata.

Pelajar, mahasiswa dan anak-anak muda semakin disesakkan nafas mereka. Mereka sedang dihalang, difitnah, diganggu, diintip, diugut, dan dipaksa untuk tunduk kepada pemerintahan yang zalim ini. Jika semua langkah jahat ini gagal maka pelajar, mahasiswa dan anak muda akan dirasuah dan dilalaikan.

Secara terancang pemerintah kuku besi ini sedang berusaha untuk mematahkan semangat anak-anak muda dari mendapat kesedaran politik. Kesedaran politik yang cuba dihalang ini ialah kesedaran untuk melakukan kebaikan. Pemerintah yang zalim tidak akan membenarkan sesiapa pun menjadi manusia jujur, ikhlas dan baik hati. Pemerintah yang zalim mahu budaya jahil, budaya rasuah, budaya hasad dengki dan budaya ampu bodek berkembang meluas. Kezaliman hanya boleh subur di dalam budaya-budaya jijik ini.

Tetapi sejarah dan hukum sosial manusia telah membuktikan; sebanyak mana kezaliman dilakukan maka sebanyak itu jugalah akan muncul penentangan. Gelombang reformasi hari ini sedang membuktikan kesahihan hukum sosial ini.

Pelajar, mahasiswa dan anak muda sedang turun sama di baris depan untuk menjana gelombang reformasi kerana :

- hanya anak muda yang mempunyai idealisme yang belum dicemari
- hanya anak muda yang masih belum terikat dengan kepentingan pribadi
- hanya anak muda yang belum dibelenggu oleh hutang piutang dan janji politik
- hanya anak muda yang ingin kepada perubahan menyuluruh
- hanya anak muda yang berani melanggar belenggu sosial yang menindas
- hanya anak muda yang mempunyai semangat juang yang jitu dan teguh
- hanya anak muda yang sakunya belum berat dengan kertas saham dan pink form
- hanya anak muda yang berani berkata benar

Buku dan kitab-kitab sejarah telah membuktikan bahawa kezaliman dan kemungkaran akhirnya akan ditumpaskan. Badut-badut politik, tukang bodek, tukang ampu, penulis upahan, intelektual kangkong dan agen politik pencetus huru hara yang bersepah-sepah dikalangan kita hari ini pasti akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Pelajar, mahasisawa dan anak-anak muda sedang memerhatikan dengan rapi kerenah mereka yang cuba menghalang arus gelombang reformasi.

Apa pun kerenah yang menghalang pasti akan direntasi oleh anak muda. Apa pun ugutan akan dilawani. Apa pun bentuk rasuah yang di hidangkan akan di kencingi. Gelombang anak muda untuk terus bereformasi tidak akan terbendung lagi. Ombak sedang bergelora. Dengarkanlah suara laungan R-E-F-O-R-M-A-S-I yang sedang bergema. Laungan suara anak-anak muda ini sedang menggegarkan akar umbi tahta mahligai ditaktor Mahathir.

Hanya anak-muda yang akan merubah dunia - kerana dunia ini akhirnya adalah kepunyaan orang muda.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved