StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting Services | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Updated on Thursday, March 21, 2002 9:20 PM

IPTA Bukan Majoriti Mahasiswa


Oleh : A. Firdaus

Menjadi satu kehairanan kepada saya hari ini apabila suara mahasiswa dibicarakan maka yang menjadi fokusnya hanyalah mahasiswa di IPTA. Persatuan yang dirujuk, pilihanraya yang diberi perhatian, masalah kampus yang dilihat - semuanya HANYA di IPTA.

Mengapa hanya IPTA ? Apakah di IPTA ini terletaknya majoriti mahasiswa ?

Rasa ingin tahu saya membawa saya kepada satu penemuan yang memeranjatkan : IPTA BUKAN letaknya majoriti suara mahasiswa. Mengikut buku Study in Malaysia (2001) Handbook 2nd International Edition yang diterbitkan oleh Challenger Concept (M) Sdn. Bhd yang dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, mahasiswa IPTS serata negara berjumlah 220,000 orang manakala mahasiswa IPTA hanya berjumlah 200,000 orang. Kemasukan ke IPTA pula setahun hanyalah 80,000 sedangkan kemasukan di IPTS jauh lebih tinggi. Bayangkan Universiti Tun Abdul Rahman (dinaiktaraf dari Kolej Tun Abdul Rahman) yang mempunyai cawangan hampir di seluruh negara sahaja menerima sejumlah 35,000 pelajar baru. Itu sahaja sudah mencakupi 43.75% daripada jumlah kemasukan IPTA.

Berdasarkan maklumat ini saya tidak nampak kredebiliti Persatuan Mahasiswa IPTA untuk menganggap diri mereka mewakili seluruh mahasiswa. Tambahan pula senario IPTS jauh berbeza. Lebih mahal, kurang kemudahan kebajikan kerajaan melainkan PTPTN, aktiviti ko-kurikulum tidak begitu diambil berat malah ada IPTS yang langsung tidak mempunyai sebarang persatuan pelajar apatah lagi MPP atau pun pilihanraya kampus.

Kebanyakkan isu yang diperjuangkan oleh majoriti persatuan mahasiswa - seperti GAMIS, BBN dan sebagainya lebih tertumpu pula kepada kepentingan yang bersangkut-paut dengan Islam dan Melayu sedangkan majoriti mahasiswa yang cemerlang di IPTA dan IPTS terdiri dari masyarakat Cina.

Ini menunjukkan pertamanya persatuan mahasiswa ini - yang pendukungnya adalah Melayu dan beragama Islam HANYA prihatin terhadap isu-isu Islam dan Melayu dan seringkali meminggirkan isu mahasiswa lain yang dianggap minoriti malah ada IPTA yang MPPnya tidak pun mengadakan sebarang aktiviti untuk golongan bukan Islam dan minoriti bukan Melayu.

Sedangkan pada masa yang sama mahasiswa bukan Melayu menggondol seluruh kejayaan akademik dan mudah pula disalurkan - lebih dulu- oleh pencatur-pencatur masyarakat Cina ke dunia pekerjaan yang lebih prestij dan terjamin sedang aktivis Melayu itu tadi masih lagi terkial-kial mendapatkan pekerjaan - baik di sektor awam mahupun swasta.

Saya timbulkan hal ini kerana ianya membawa kita kepada persoalan jika benarlah perjuangan MPP itu untuk perjuangan Melayu dan/atau Islamnya mengapa dalam dekad perjuangan mereka mahasiswa Melayu dan Islam yang berjaya meraih ijazah kelas pertama tidak meningkat ? Malah sumbangan mereka ke arah melahirkan atau memperbanyakkan graduan Melayu Islam kelas pertama boleh dipersoalkan.

Gerakan mereka - suara mereka hari ini lebih kepada berusaha memburukkan kerajaan hinggakan ditahap ekstremis boleh dianggap motifnya adalah untuk menumbangkan kerajaan. Apa untungnya Melayu dan Islam dengan tindakan mereka ini ?

Barangkali saya silap. Justeru itu saya mahon jika ada pemimpin persatuan mahasiswa atau aktivis pelajar yang membaca tulisan saya ini - membetulkan fakta - dan menjelaskan apakah sumbangan mereka sebagai aktivis yang memartabatkan keilmuan mahasiswa Melayu Islam ?

Apakah memperbanyakkan graduan yang menyokong penubuhan negara Islam itu baik sedangkan graduan itu dari segi akademiknya tidak mampu bersaing di dunia pekerjaan tanpa bantuan `pihak tertentu'?

Pada hemat saya, perjuangan mahasiswa hari ini buta masalah buta penyelesaian dan menjadi kuda tunggangan. Saya katakan buta kerana perjuangan hari ini saya lihat tidak membantu melahirkan lebih banyak graduan Melayu Islam yang hebat akademiknya mampu menyumbang kepada agama dan negara. Sudahlah tahap taqwanya boleh dipersoalkan walaupun ilmunya barangkali ada. Tetapi sejauhmana mereka mentauhidkan Allah - percaya kepada kekuasaan Allah - bahawa Allah mampu melakukan sesuatu yang diluar logik fikiran manusia misalnya berdasarkan ayat `kun fayakun'.

Hari ini tuan-tuan - yang bercakap bab Islam ini banyak tetapi mereka sendiri dalam minta tolong misalnya belum tentu minta tolong dengan Allah dahulu. Allah tidak diutamakan.

Mengapa pada saya melahirkan graduan Melayu-Islam atau katakan sahaja Islam yang first class honour itu penting ?

Tuan-tuan, golongan lulusan first class ini gerenti mendapat pembiayaan daripada pihak tertentu untuk melanjutkan pelajaran. Akhirnya mereka ini akan ditarik masuk ke tempat tertentu sebagai penyelidik dan pengajar. Pengaruh pengajar sangat besar dalam bab membina fikiran di kalangan mana-mana masyarakat pun. Yang pastinya, golongan ini mendapat pelbagai kemudahan dan jika mereka berjaya menamatkan pengajian lanjutan, mereka juga mendapat kedudukan prestij dan kehormatan. Sekurang-kurangnya, pendapatan mereka besar.

Jika mereka ini Islam - maka tentunya kita berharapkan mereka akan dapat berjuang dengan lebih baik dengan posisi baru mereka. Paling kurang, dengan gaji lumayan, sumbangan material mereka agak besar. Buah fikiran juga saya fikir ; mudah dan kerana ianya lahir dari otak first class, tentunya bukan sembarangan.

Pokoknya, golongan ini akan dapat menyumbang kepada agama dan negara dengan lebih baik daripada aktivis yang akhirnya hanya mendapat kelas kedua atau ketiga.

Kesimpulannya, mana-mana persatuan mahasiswa tidak boleh mendabik dada dengan mudah dan riak tanpa mengemukakan bukti bahawa mereka itu sememangnya mewakili majoriti mahasiswa kerana jika mereka menguasai seluruh IPTA pun dalam keadaan seluruh penghuni kampus IPTA keluar mengundi mereka belum lagi mendapat 50% daripada seluruh suara mahasiswa.

Kredebiliti perjuangan persatuan mahasiswa pula amat diragui kerana selain dari penguasaan mereka sebenarnya bukan majoriti, perjuangan mereka sebenarnya tidaklah berupaya melahirkan graduan first class Melayu Islam yang hari ini semakin terancam jumlahnya dan amat perlu dalam penyusunan semula negara kita.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved