StatTrack
free web hosting | free website | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

MAHASISWA : DEMONSTRASI, EMOSI DAN TOLERANSI


SABRI HJ MOHAMAD SHARIF, Suara Mahasiswa,PKPIM

Aristotle seorang ahli falsafah yang cukup tersohor di zaman silam pernah mengungkapkan dalam Nicomachean Ethics yang bermaksud, "Adalah mudah bagi setiap manusia untuk meluahkan kemarahan dan mampu bertindak mengikut kemahuan kemarahannya itu, tetapi untuk meletakkan kemarahan itu pada orang yang betul, waktu yang tepat, tujuan yang baik, jalan yang hikmah dan tahap yang sepatutnya mereka menjadi marah itu tidak mudah dan payah untuk dilakukan".

Ia perlukan kepada kebijaksanaan dalam mengawal emosi dan meletakkan kesabaran sebagai asas kewarasan sebelum bertindak melakukan sesuatu. Ini adalah kerana, akar kesabaran itu terhimpun di puncak kekuatan dan sesungguhnya seni kekuatan itu perlukan keberanian dan keberanian itu perlukan watak jatidiri yang tidak dimiliki oleh kebanyakan manusia.

Dalam tradisi agama pula, Islam menganjurkan umatnya supaya banyak bersabar. Orang yang paling kuat dan mulia ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika ia marah. Hinggakan pernah yang mulia junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda bahawa sesungguhnya sebahagian iman itu diperolehi dalam watak kesabaran. Watak kesabaran itu merupakan salah satu akhlak yang paling utama dan acapkali disebut dalam Al-Quran.

Imam Al-Ghazali menjelaskan dalam bab "Assobru wasysukru" dari kitab Ihya Ulumuddin bahawa kalimah sabar telah disebut dalam Al-Quran lebih dari tujuh puluh tempat. Beliau juga menegaskan bahawa sabar merupakan ciri khas milik manusia dan tidak dipunyai oleh haiwan kerana kekurangan-kekurangannya dan tidka pula oleh malaikat kerana kesempurnaannya.

Sesungguhnya, ini telah menzahirkan betapa luas anugerah dan kurniaan Allah kepada manusia, apabila telah memuliakan dan meninggikan darjat serta martabat manusia sebagai khalifah, sesuai dengan sifatnya yang "ahsanu taqwim" bagi semua makhluk yang terdapat di muka bumi ini. Pandangan ini turut diperkukuhkan lagi dengan pernyataan Imam Ahmad yang mengatakan bahawa "sebutan sabar dalam Al-Quran terletak pada sembilan puluh tempat." Pengiktirafan Al-Quran tentang watak kesabaran ini memanglah sungguh luar biasa.

Hinggakan Abu Talib Al-Maliki sungguh terpesona dengan kalimah sabar yang termaktub dalam Al-Quran, apabila mengungkapkannya dalam buku 'Quutul Qulub' yang menulis keterangan beberapa ulama : "Adakah yang lebih utama dari sabar yang sebutannya dalam Al-Quran lebih dari sembilan puluh tempat?". Jawabnya tentulah "Tidak ada". Sememangnya watak sabar merupakan sifat yang terpuji dan mulia. Islam memuliakan orang yang sentiasa bersabar dan tidak mudah putus asa, dengan memohon pertolongan kepadaNya. Ini boleh disaksikan dalam firman Allah di akhir surah An-Nahl yang berbunyi :- "Dan jika kamu memberikan balasan maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu.

Akan tetapi jika kamu bersabar sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar. Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah. Dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka danm janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipudayakan". (An-Nahl : 126-127). Kemuncak watak kesabaran ini juga mampu membentuk suatu sistem pertahanan yang ampuh terutama dalam mengekang dorongan nafsu syahwat yang tidak pernah puas-puas.

Golongan yang memiliki kesabaran tinggi inilah merupakan golongan penegak risalah suci dan agama Allah di alam ini. Cernaan suci ini boleh dihayati seperti berikut :-

"Dan apabila ditindih oleh nafsu syahwat dan tidak sabar dalam menghalau dan melawannya maka dia tergolong pengikut-pengikut syaitan". (Ihya Ulumuddin : Jilid IV, hlmn 62-63)

Mereka yang ada watak kesabaran akan terus melangkah maju, tidak menoleh ke belakang, gigih, kental, tidak gentar dengan bunyi halilintar, atau silauan kilat, tidak hirau hujan dan panas serta debu kotor yang boleh mengganggu penglihatan. Mereka ini memiliki keteguhan hati, ketinggian akal budi dan mempunyai roh kesabaran yang jitu.

Watak kesabaran boleh dihayati dengan meminjam ungkapan beberapa tokoh penyair tersohor mengatakan :- "Katakanlah siapa gigih menempuh keberhasilan, Kadangkala tergelincir lalu bangkit kembali, Kadangkala ia tersesat lalu berhasil mencapai sasaran, Kadangkala ia terguris luka lalu pulih kembali, Sekali dua ia gagal tetapi tidak meletakkan senjata, Tidak berputus asa atau kehilangan cahaya harapan."

Syair lain pula berbunyi :- "Janganlah berputus asa meskipun lama kan tercapai, Bila benar-benar kesabaran kan terlihat jalan keluar, Siapa sabar akan berhasil mencapai tujuannya, Orang yang mengetuk-ngetuk pintu-pintu akan memperoleh perlindungan."

Namun sekiranya kemungkaran itu berlaku sehingga mampu mencemarkan maruah kesucian dan kedaulatan agama, bangsa dan negara maka, ketika itu kita wajib bertindak melakukan sesuatu supaya keadaan kembali aman dan maruah kita terpelihara. Di negara kita, acapkali kita melihat mahasiswa berdemonstasi bagi menyuarakan pandangan mereka dalam pelbagai isu dan masalah yang melanda negara. Kebanyakan demonstrasi mahasiswa di negara ini berlaku secara aman dan hanya sebilangan kecil sahaja yang membawa kepada berlakunya rusuhan tetapi masih di bawah kawalan.

Sebilangan pihak berpendapat, memang menjadi sifat dan lumrah mahasiswa mewakili golongan anti-establishment, dengan beranggapan mereka ini sebagai golongan pressure group atau menyediakan check and balance kepada pemerintah. Ada juga yang berpendapat bahawa mahasiswa yang suka berdemonstrasi mengkritik dasar kerajaan adalah kerana mereka telah dipengaruhi oleh unsur-unsur luaran seperti pengaruh parti pembangkang dan sebagainya.

Namun, ada juga yang berpendapat mahasiswa ini adalah golongan yang tiada berkepentingan sama ada politik mahupun peribadi dan adalah mustahil mereka mudah dipengaruhi oleh anasir luar seperti parti pembangkang dan sebagainya.

Walau apapun persepsi dan pandangan masyarakat terhadap mereka, mahasiswa merupakan golongan yang berpendidikan tinggi, matang, bijak dalam membuat keputusan, tidak mudah dipengaruhi oleh anasir luar dan bakal pewaris kepimpinan pada masa hadapan. Namun ini bukanlah isu besar yang cuba kita ketengahkan pada kali ini.

Persoalan yang ingin kita timbulkan sekarang ini, benarkah gerakan mahasiswa lesu dan lemah, tidak mampu berdiri dengan sendirinya hingga terpaksa menggunakan faktor lain untuk mendokongnya atau menumpang kepada kekuatan orang lain?. Jika benar mengapa perkara ini terjadi?.

Isu kedua yang ingin kita bicarakan mengapa kata orang terbanyak mahasiswa hari ini, sudah hilang hala tuju perjuangannya hinggakan membiarkan orang luar datang membentuk dan mengkerangkakan pemikiran dan agenda perjuangan mereka.

Mengapa ini harus terjadi. Benarkah mahasiswa yang berada di menara gading ini sudah cetek intektualismenya, muflis semangat perjuangannya atau masih kukuh pegangan perjuangan seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh mereka.?

Isu yang ketiga masih relevankah kita menggunakan atau meniru mentah-mentah pendekatan gerakan mahasiswa terdahulu dengan sering melakukan demonstrasi mengkritik dasar pemerintah pada ketika nuansa dan keadaan yang waktu dan negara yang sudah banyak berubah. Atau perlukah kita bina arus pendekatan yang baru tanpa terlalu bernostalgik dengan pendekatan zaman silam.?

Sebelum itu, izinkan kita membicarakannya secara sedar dan dewasa tanpa mengikut hawa nafsu dan kecenderungan peribadi semata-mata. Anggaplah cetusan ini sebagai pandangan akademia yang bukan bermatlamat untuk menyinggung, apatah lagi berniat untuk menyentuh soal-soal sensitif dan picisan yang boleh menimbulkan suasana tidak selesa bagi pihak-pihak yang menerima ataupun pihak-pihak yang memberi.

Sesuai dengan topik persoalan kita, yang begitu menekankan soal kawalan emosi dan toleransi, bagi kita sebagai mahasiswa yang sedang mengalami proses kematangan, maka kita cuba menyelongkar isu ini daripada pelbagai sudut sama ada yang memihak mahupun yang tidak memihak. Ini bertujuan supaya kita dapat menghasilkan suatu natijah yang benar-benar ikhlas, telus dantulus dan seterusnya dapat merangka suatu agenda baru mahasiswa dengan lebih efisien dan bijaksana.

Reformasi

Bagi kita, pergerakan mahasiswa masa kini perlukan reformasi yang menyeluruh jika ingin membina kekuatan dan taringnya kembali. Mereka perlukan suatu anjakan paradigma yang jelas tentang halatuju, matlamat perjuangan, memahami prinsip perjuangan tanpa mengikut secara melulu pendekatan terdahulu atau agenda yang telah dikerangkakan oleh oleh orang. Mereka perlu susun agenda keutamaannya tanpa mendahului perkara furuk daripada perkara prinsip. Mereka juga perlu bertekad membebaskan pemikiran dan diri mereka daripada kelompok luar yang matlamatnya sudah wujud berbezaan dengan pergerakan pelajar di universiti.

Pemimpin pelajar perlu membina idealisme mereka yang tersendiri tanpa dibelenggu dan dipengaruhi oleh anasir luar yang masuk dalam pemikiran mereka. Kita tidak nafikan mahasiswa mempunyai pemikiran dan pendangan yang berbeza dalam menanggapi sesuatu isu, tetapi dalam banyak hal mereka perlu membina suatu kesatuan suara, supaya rintihan dan kritikan mereka lebih kuat dan mudah didengar oleh masyarakat mahupun pihak pemerintah.

Konsep "Adabul Ikhtilaf" perlu diwarwarkan oleh pemimpin gerakan mahasiswa supaya mereka dapat duduk semeja bersatu menegakkan keadilan dan kebenaran di samping menentang sebarang kezaliman dan penindasan yang berlaku dalam masyarakat. Sepatutnya pemimpin mahasiswa menjadikan perbezaan pemikiran dan pendapat ini sebagai rahmat yang boleh menyatukan hati-hati mereka dalam melaksanakan agenda bertindak seperti yang telah digariskan oleh Islam dan budaya kita. Demonstrasi Bagaimana pula dengan pendekatan secara berdemonstrasi.

Masih relevankah di zaman ini?. Seperti yang kita ketahui, pendekatan demonstrasi ini mempunyai risiko yang amat tinggi terutama kepada masa depan kita dan kesannya cukup bahaya. Berani berdemonstrasi bererti berani menanggung segala apa juga risiko yang akan dikenakan kepada kita. Pernah di suatu ketika salah seorang pemimpin besar negara kita pernah memberi jawapan "Silalah bertindak dan berbuat seperti saya ketika menjadi mahasiswa, tetapi bersedialah juga untuk direhatkan di dalam penjara".

Dalam konteks gerakan pelajar masa kini, pendekatan demonstrasi ini masih relevan tetapi ia merupakan langkah yang terakhir setelah banyak cabang pilihan lain gagal untuk menyelesaikan masalah. Kebuntuan kita setelah segala usaha dilakukan namun masih gagal menanganinya secara bijaksana maka ketika inilah pendekatan berdemonstrasi ini terpakai. Di samping itu juga, mencari jalan alternatif harus dicuba dan diteroka.

Usaha perundingan mesti dijalankan sehingga ia masih belum mencapai jalan buntu. Pihak pemerintah juga harus terbuka dan sedia mendengar kritikan dan saranan bagi kebaikan rakyat secara keseluruhannya. Emosi para pemimpin gerakan pelajar harus matang dalam menanggapi sesuatu isu. Bukan menerimanya secara ikut-ikutan daripada desakan luar atau terlalu mengikut perasaan hati dan darah muda.

Mereka harus bijak mengawal emosi dan pemikiran dalam menerima sesuatu isu. Bukankah pepatah Melayu ada menyatakan "kalau ikut hati mati jika ikut badan binasa, ikut perasaan buruk padahnya". Apatah lagi sebagai pelajar Islam. Kesabarannya harus tinggi daripada orang lain. Mereka sepatutnya cuba menyalurkan pendirian mereka dengan cara yang lebih bijaksana melalui platfom yang baik dan berkesan dan bijak mengawal emosi jika sekiranya mereka ingin berhimpun untuk membincangkan sesuatu isu yang berlaku.

Bak pepatah Melayu juga ada menyebut, 'umpama menarik rambut dalam tepung atau memukul ular dengan kayu, ular biar mati kayu jangan patah'. Begitu hikmahnya bangsa Melayu yang beragama Islam ini mendidik umatnya supaya berdisiplin dan berhemah tinggi dalam menghadapi kekusutan masalah.

Jika ingin meningkatkan lagi budaya intelektualisme yang dikatakan semakin lesu di kalangan mahasiswa masa kini, buku "Emotional Intelligence" karangan Daniel Goleman sangat baik untuk menjadi renungan dan santapan minda kita khususnya berkaitan hal kebijkasanaan kita mengawal emosi.

Akar kata emosi (emotion) adalah berasal daripada perkataan kata kerja Latin yang bermaksud "motere" iaitu bergerak(to move) dengan ditambah awalannya(prefix) "e-" bermakna berpindah(move away) yang mencadangkan satu kecenderungan untuk bertindak secara tersirat(implicit) dalam setiap emosi.

Menurut Oxford English Dictionary mendefinisikan emosi sebagai "sebarang keresahan atau gangguan minda, perasaan, keghairahan; sebarang kesungguhan atau keadaan rangsangan mental(excited mental state)."

Setiap emosi memainkan peranan yang unik dalam tubuh dan otak manusia. Sebab itu, para penyelidik telah menemui lebih banyak butiran psikologi, tentang bagaimana setiap emosi dapat menyediakan tubuh badan manusia untuk memberi tindak balas yang pelbagai seperti marah(anger), kesedihan(sadness), takut(fear), kegembiraan(enjoyment), cinta(love), terperanjat(surprise), menyampah(disgust) dan malu(shame). Kesemua tindak balas ini, terbentuk hasil daripada pengalaman dan budaya yang kita amalkan seharian .

Howard Gardner pula telah memberikan definisi asas tentang makna kebijaksanaan emosi dengan meluaskannya kepada ialah lima bahagian utama iaitu :-

1. Mengetahui emosi seseorang. Ini merujuk kepada kesedaran diri. Apabila kita mengetahui emosi seseorang, kita mudah berinteraksi dengan sesiapa sahaja melalui kaedah yang betul. Kita mudah menjadi pemimpin, pengikut atau apa sahaja jika kita menguasai keadaan ini. Apabila kita berbicara, orang tidak akan tersinggung dan kita tidak kekok dalam pertuturan atau perbualan dengan orang lain.

2. Menguruskan emosi. Aspek ini amat penting dalam kehidupan seharian. Kegagalan menguruskan emosi menyebabkan kita mudah dihinggapi penyakit dalaman seperti tekanan(stress), kemurungan, pening kepala, mudah marah atau tidak keharuan.

3. Memotivasikan diri sendiri. Memotivasikan diri akan menyebabkan kita lebih produktif dan energetik dalam melakukan sesuatu tindakan atau pekerjaan. Sifat sebegini akan menyebabkan lahirnya sifat murni dan berfikiran positif. Perkara seperti ini biasa dilakukan oleh cerdik pandai orang Melayu melalui ungkapan "mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih cemerlang dari hari ini" atau "jangan engkau fikirkan kekecewaan hari ini, hingga kamu lupa kebahagiaan hari esok."

4. Mengiktiraf emosi orang lain. Ini akan melahirkan sifat "empati". Ia bermaksud suatu kebolehan membayang, mengongsi perasaan dan pengalaman orang lain. Ini akan membina sifat kesedaran emosi diri yang merupakan asas kemahiran bagi manusia.

5. Mengendalikan hubungan. Ia berkait rapat dengan aspek pengendalian emosi. Mereka yang menguasai kemahiran ini akan mudah berinteraksi dengan orang lain dan barangkali mereka dikenali sebagai bintang sosial .

Sebenarnya, mereka yang mempunyai kelebihan Intelligence Quotient(IQ) tinggi sahaja, bukanlah tiket untuk mencipta kejayaan atau kecemerlangan dalam hidup. Seseorang hendaklah menguasai Emotional Quotient(EQ) atau disebut juga sebagai Emotional Intelligence(Kecerdasan Emosi).

Kebolehan menguasai EQ dengan baik, telah diakui oleh para sarjana dunia sebagai penentu kejayaan hidup seseorang di atas dunia ini. Yang terbaru, turut diperkenalkan konsep Spiritual Quotient(SQ), yang dipelopori oleh Danah Zohar dan Ian Marshall. Kaedah SQ ini, dikatakan merupakan kemuncak kecerdasan bagi seseorang manusia, di samping berusaha membuktikan bahawa kejayaan seseorang itu banyak dipengaruhi oleh faktor spiritual atau rohaninya yang mantap.

Hujah yang mengatakan EQ lebih utama daripada IQ, telah dibuktikan dengan merujuk kepada kes seorang guru Fizik, David Pologruto, telah ditikam dengan pisau dapur oleh Jason H., yang merupakan seorang anak muridnya yang pintar dan cemerlang dalam akademik. Dia adalah seorang pelajar yang berjaya mengekalkan prestasi 'A' dalam setiap subjek di Sekolah Tinggi Coral Springs, Florida, Amerika Syarikat.

Tetapi, dalam subjek fizik dia hanya berjaya mendapat 80% markah pada ujian kuiz dan ini menyebabkan beliau hanya menganggap pencapaiannya sekitar greb 'B' sahaja. Beliau merasa kecewa lalu berjumpa dengan guru Fizik tersebut dengan menyatakan hasratnya untuk membunuh diri.

Kemudian berlaku pertengkaran, menyebabkan guru Fizik itu telah ditikam dengan pisau. Mahkamah memutuskan bahawa Jason tidak bersalah, kerana gila sementara(temporarily insane) pada kejadian itu. Setelah bertukar ke sekolah swasta, Jason telah menamatkan pengajiannya apabila berjaya graduasi sebagai pelajar cemerlang di sekolah berkenaan, dua tahun kemudian. Dia bukan sahaja berjaya memperolehi 'A' dalam semua subjek dengan CGPA 4.0 rata, tetapi berjaya memperolehi 4.614 iaitu melebihi 'A+' kerana beliau telah mengambil subjek kursus tambahan yang melebihi sepatutnya .

Kesimpulannya, kecemerlangan akademik sangat sedikit pengaruhnya kepada emosi dalam kehidupan. Seseorang yang geliga di kalangan kita, boleh bertukar menjadi yang paling rendah atau naif dalam kehidupan peribadi atau tingkahlakunya.

Justeru, IQ menyumbang 20 peratus sahaja, dalam menentukan kejayaan hidup seseorang. Baki 80 peratus berpunca daripada desakan faktor lain. Barangkali seorang yang geliga dalam akademik, hanya memiliki keupayaan dalam bidang akademik sahaja.

Sebaliknya, jika seseorang itu mempunyai karekteristik tambahan seperti pengalaman dalam kepimpinan kampus, kemahiran berfikir, menjadi aktivis pelajar atau masyarakat, mempunyai hubungan yang baik(PR) di antara sesama rakan mahasiswa atau mahasiswi, barangkali lebih berjaya dalam kehidupan sebenar.

Karekteristik tambahan inilah yang kita katakan sebagai kecerdasan emosi(EQ). Meskipun demikian, sebenarnya Islam telahpun mendahului konsep kecerdasan emosi ini dengan menegaskan, orang yang paling kuat di kalangan kita adalah mereka yang dapat mengawal emosi dan perasaannya terutama ketika marah. Termasuk juga konsep SQ itu, dikatakan adalah ciplakan daripada konsep iman atau keimanan yang menjadi benteng dan simbol kekuatan bagi orang-orang Mukmin dan Muttaqin.

Jika disingkap dalam sirah Anbiya', para Rasul terutama Rasul Ulul Azmi, merupakan utusan Allah yang paling banyak menghadapi pelbagai ancaman, karenah dan ugutan daripada kaum mereka supaya meninggalkan ajaran wahyu tersebut, tetapi para Rasul berkenaan tetap tidak berganjak daripada ajarannya, tabah dan mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dalam menghadapi tantangan serangan musuh dan orang kafir. Jika kecerdasan emosi ini tiada pada mereka, barangkali dakwah mereka akan menemui kegagalan.

Toleransi

Budaya bertoleransi dan bertolak-ansur amat digalakkan dalam budaya dan agama kita. Ia adalah simbol kepada terwujudnya ikatan erat tali persaudaraan kita dengan orang lain. Kita juga dituntut supaya sering berkelakuan baik termasuk kepada musuh kita. Tetapi toleransi ini tidak sampai menyangkut kepada persoalan prinsip, maruah dan kedaulatan negara. Sebarang perlanggaran perjanjian yang telah dimeterai dan disepakati bersama, tidak boleh ditoleransi.

Misalnya, Nabi Muhammad amat lunak dan baik budinya dengan penduduk Yahudi yang tinggal di Madinah pada ketika itu, iaitu Bani Nadir, Bani Quraizah dan Bani Quainuqa', sehinggalah mereka melanggar perjanjian Piagam Madinah yang telah disepakati oleh mereka. Tambahan pula, rancangan jahat mereka ingin membunuh Nabi, telah diketahui dan menyebabkan mereka diusir dari bumi Madinah dan diperangi habis-habisan.

Terdapat juga al-quran yang menyuruh kita hubaya-hubaya dan berwaspada terutama dengan musuh kita. Firman Allah s.w.t. yang berbunyi :-

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu) Katakanlah (kepada mereka) : "Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tidaklah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." . (Al-Baqarah 2:120)

Halatuju dan pendekatan baru

Oleh yang demikian, mahasiswa harus membina halatujunya yang jelas dan tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir pemikiran luar yang tidak secocok dengan perjuangan mereka. Apa yang penting, perjuangan mereka mestilah berpaksikan kepada prinsip kebenaran dan keadilan di samping membenci penindasan dan kezaliman sama ada ke atas individu mahupun rakyat terbanyak.

Mereka perlu bijak merencanakan agenda masa depan mereka sendiri dalam menghadapi zaman yang semakin berubah. Mereka perlu ada "courage of conviction" keberanian yang disertai dengan keyakinan dengan idealisme yang didokongnya. Mereka perlu berjuang dengan menggunakan akal fikiran yang bernas lagi tajam, visi dan misi yang jelas dan bukan berjuang mengikut emosi kemudaan mereka yang membuak-buak.

Mereka juga perlu bijak menyesuaikan diri mereka dengan zaman muasir yang serba canggih ini. Gagal berbuat demikian bererti hilanglah rantaian pewaris yang akan menerajui negara pada dekad akan datang.

Demikianlah sajak sasterawan negara, Usman Awang sebagai tanda pekanya kepada pergerakan mahasiswa yang berbunyi : Di mana-mana di bumi ini, Tulang patah air mata darah, Kerana di mana-mana dijagat ini, Ribuan penjara dan Jutaan si Berani.

SABRI HJ MOHAMAD SHARIF adalah lulusan Sarjana Pengurusan Sains, Teknologi dan Undang-undang dari Universiti Malaya.


Halaman Utama

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved