StatTrack
free web hosting | free website | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Monday, January 07, 2002

Hak bersuara, Isu rakyat dorong siswa sertai politik


9:48pm, Tue: Aktivis-aktivis pelajar beranggapan
kebebasan bersuara dalam isu-isu nasional menjadi
faktor utama mereka kini berani mengkritik kerajaan
walaupun masih menuntut di pusat pengajian tinggi.

Sebagai individu, kebebasan adalah hak asasi
seseorang dan hak itu dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan. Kebebasan itu termasuk cara individu itu
bekerja dan berfikir, kata Rahmat Haron, seorang
penggerak sekumpulan pelajar yang dikenali ‘Universiti
Bangsar Utama’ (UBU).

Katanya, perjuangan dan tujuan siswa, khsusunya di
UBU, berbeza dengan yang diamalkan oleh parti politik.
Kita melihat, menilai dan memilih isu-isu negara,
bukannya parti, kata Rahmat.

UBU baru-baru ini dilaporkan termasuk dalam senarai 10 pertubuhan pelajar yang tidak berdaftar dan perkara
itu diadukan kepada polis oleh sekumpulan pelajar lain
yang dikenali Persatuan Pemuda Negara Malaysia (PPNM).

Bagaimanapun menurut Rahmat, penubuhan UBU hanya bertujuan mengumpulkan golongan muda dan pelajar agar mereka dapat memberikan sumbangan positif kepada masyarakat sekeliling.

Kita (UBU) telah mengadakan program kemasyarakatan seperti kelas tuisyen untuk pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan program belajar berkelompok, katanya.

Pemuda Umno hari ini dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan menyegerakan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), khususnya seksyen 15 dan 16. Pindaan itu didakwa bertujuan melindungi pelajar daripada diperalatkan parti pembangkang dan pertubuhan antikerajaan.

Presiden PPNM Steven Doss berkata tidak salah bagi
pelajar menyuarakan kritikan kepada kerajaan jika
terdapat sesuatu isu.

“Tetapi kritikan itu hendaklah disampaikan secara
membina. Maksudnya, menyampaikan sesuatu yang salah itu melalui luahan pendapat dan berdasarkan bukti. Bukti perlu ditunjukkan, bukannya mengunakan emosi, tambahnya kepada malaysiakini.

Beliau mengakui isu-isu berhubung pemecatan dan
perbicaraan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri
Anwar Ibrahim menjadi satu lagi faktor pendorong yang
mewujudkan gerakan siswa yang lebih lantang hari ini.

Anwar pemangkin politik pelajar.

Anwar boleh dianggap sebagai pemangkin kepada
kemunculan aktiviti gerakan pelajar sekarang,
katanya.

Selepas Anwar dipecat, kerajaan lebih ketara menekan
kegiatan siswa. Dan kebanyakan pertubuhan mahasiswa pula dilihat mula bekerjasama dengan parti
pembangkang, katanya.

Sementara jurucakap Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) Syahrir Mahmood berkata persamaan agenda yang dibawa oleh mahasiswa dan parti pembangkang hanyalah secara kebetulan.

Perjuangan mahasiswa yang dibawa oleh GMMI
berlandaskan kebenaran, keadilan dan menentang
kezaliman. Kami memegang prinsip asas iaitu (perkara)
yang benar ditegakkan, manakala (perkara) yang salah
diperbetulkan, jelasnya.

Pelajar kolej swasta itu tidak menafikan kemungkinan
wujud sokongan daripada parti tertentu tetapi ia
disebabkan matlamat perjuangan yang kebetulan sama.

Menurut beliau lagi, perjuangan siswa kini tidak hanya
tertumpu kepada isu yang berkaitan kelompok mereka
tetapi turut membabitkan isu-isu orang ramai.

Mengimbas penglibatan secara aktif semasa di
universiti beberapa tahun lalu, Steven pula berkata
beliau didorong oleh keinginan untuk menjadi
sebahagian daripada proses perubahan masyarakat.

Sebagai orang dewasa yang juga layak mengundi, saya
percaya adalah tugas saya untuk menyertai dan terlibat
dalam proses pembangunan masyarakat, jelasnya, kini
bertugas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa
(Isis), sebuah kumpulan pemikir yang dikaitkan dengan
Perdana Menteri.

Orang ramai, termasuk parti politik, memberikan
sokongan kepada kumpulan pelajar kerana agendanya
sama.

Rakyat menyokong gerakan mahasiswa kerana agenda yang dibawa oleh mahasiswa adalah agenda perubahan negara, tambah Syahrir, juga terlibat bersama Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), sebuah kumpulan yang diasaskan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Prinsip perjuangan yang kuat GMMI dan Karisma turut dinamakan pertubuhan haram yang kini sedang diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Ditanya sejauh mana kumpulan pelajar boleh diteruskan
apabila menghadapi tekanan kerajaan sekarang, Syahrir berkata “ia (perjuangan pelajar) dapat dikekalkan jika siswa mempunyai prinsip yang kuat dengan apa yang diperjuangkan.

Rahmat, yang masih menuntut di sebuah universiti
tempatan, juga yakin usaha-usaha UBU akan dapat
diteruskan walau seorang penggerak utamanya Khairul
Anuar Ahmad Zainuddin, juga pelajar Institut Kemahiran
Mara (IKM), ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA).

Khairul Anuar ditahan di bawah seksyen 73(1) akta itu
sejak 5 Julai lalu. Seorang lagi aktivis pelajar,
Timbalan Presiden Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, ditahan sehari selepas itu di bawah ISA tetapi dibebaskan tanpa syarat semalam.

BBMN ditubuhkan sebagai gabungan longgar pemimpin
majlis perwakilan pelajar (MPP) yang dilantik secara
rasmi oleh pelajar-pelajar universiti awam dan swasta.
Mohamad Fuad juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaya (MPMUM).

GMMI pula gabungan tidak rasmi 12 perkumpulan pelajar bagi menggesa pemansuhan akta ISA dan dilancarkan pada Mei lalu sebagai bantahan terhadap tangkapan 10 aktivis reformasi di bawah akta itu.

Ia disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia
(Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM) dan Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia
Malaysia (Dema), selain Karisma, UBU dan BBMN.

Gabungan ini pernah menghantar memorandum dan
mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Polis
Negara pada 11 Mei lalu.

Pada 8 Jun lalu, gabungan itu mengadakan perhimpunan aman di depan Masjid Negara dan enam daripada penyokongnya ditangkap polis. Enam pelajar itu dikehendaki melapor diri bagi kali ketiga di balai
polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis ini.


Isu selanjutnya – Isu Semasa

 

Oleh:

Azlina Ngainon, Malaysia Kini

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved