StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Selasa, Januari 15, 2002

Hentikan Pencabulan terhadap Hak asasi Mahasiswa


Suaram khuatir akan bibit-bibit mahasiswa menjadi
sasaran kedua pihak pemerintah selepas penahanan pucuk pimpinan Pemuda Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi. Buktinya adalah tuduhan melulu dari pucuk pimpinan Pemuda Umno dan laporan polis yang dibuat oleh pimpinan Pergerakan Pemuda Negara Malaysia (PPNM) sejurus selepas kebakaran Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya yang mendedahkan terdapat lebih 10 kumpulan anti kerajaan dan gerakan bawah tanah seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Himpunan Mahasiswa Islam Selangor (Hamas). Mereka ini dituduh terlibat dalam kegiatan anti kerajaan seperti berdemonstrasi, menerbitkan majalah dan risalah serta yang terbaru turut dikaitkan dengan kebakaran Dewan Tunku Canselor.

Mengikut pemerhatian kami, bibit-bibit ini telahpun
bermula pada 8hb Jun 2001 di mana seramai 7 orang
pelajar yang ditahan ketika hampir bersurai setelah
menyertai demonstrasi aman membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara. Mereka yang ditahan adalah Rafzan bin Ramli, Herman bin Shaharuddin, Dzulkifli bin Idris, Khairul Amar bin Mahmud, Ahmad Kamal bin Abdul Hamid, Wan Mohamad Sanusi bin Wan Mohd Noor dan Nik Noor Hafizi bin Nik Ibrahim. Mereka ditahan semalaman di dalam lokap dan turut dipukul semasa dalam tahanan. Kemudian, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Sejurus selepas itu, Rafzan bin Ramli, seorang pelajar
tahun akhir jurusan kejuruteraan elektronik di
Universiti Teknologi Mara telah dihadapkan ke Lembaga
Tatatertib pada 22 Jun 2001 untuk dibicarakan. Notis
penangguhan perbicaraan beliau pada 15 Jun 2001 telah disingkatkan dari 2 minggu menjadi seminggu dan beliau hanya menerimanya 2 hari sebelum perbicaraan. Beliau telah dinafikan hak untuk membawa saksi, peguam dan pemerhati serta tidak dibenarkan langsung melihat bahan bukti kes beliau sendiri. Perbicaraan tersebut berlangsung begitu singkat dengan hanya 3 soalan yang diajukan kepadanya dan beliau kemudiannya dibuang dari universiti tersebut.

Seorang lagi mahasiswa, Choo Chon Kai yang menjawat jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bahasa Cina Universiti Sains Malaysia disabitkan hukuman denda RM200 pada 3 Julai 2001 kerana menjual dan memiliki lencana ‘Mansuhkan ISA Zalim’. Turut menghadapi hukuman yang sama adalah rakan beliau, Lee Yen Ting, Presiden Persatuan Bahasa Cina USM atas tuduhan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung ‘keengganan pihak universiti membenarkan penyertaan persatuan mereka ke Pertandingan Perbahasan Universiti Malaysia-Singapura’ tanpa kelulusan universiti.
Manakala, 5 orang pelajar lain yang turut dibicarakan
kerana menyertai perbahasan tersebut telah
ditangguhkan perbicaraan mereka dan mereka dilarang
mendedahkan hukuman yang dikenakan ke atas rakan
mereka kepada sesiapa pun termasuk media.

Suaram juga turut difahamkan bahawa 3 orang pelajar
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib hari ini (4 Julai 2001) atas
tuduhan menganjurkan demonstrasi membantah penggunaan ISA dalam kampus universiti.

Suaram memandang serius terhadap semua peristiwa
perlanggaran hak asasi pelajar yang telah dan akan
dilakukan oleh pihak universiti terhadap mahasiswa
sejak kebelakangan ini.

Suaram membantah sekeras-kerasnya penggunaan akta ini yang bertujuan untuk menekan gerakan mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Walhal, kita semua sudah sedia maklum bahawa Dr Mahathir sendiri pernah suatu ketika dahulu menggunakan mahasiswa sebagai
pentas politik beliau dalam menentang Allahyarham
Tunku Abdul Rahman yang mengetuai kerajaan ketika itu.
Akhirnya, Tunku sendiri akur dengan desakan mahasiswa dan meletakkan jawatan. Kini, apakah Dr Mahathir takut akan ‘senjata memakan tuan’ sedangkan dahulu beliau menyokong gerakan pelajar dan rakyat?

Maka, Suaram menuntut pihak universiti mengembalikan semula kedudukan pelajar yang telah dihukum kerana mengamalkan hak asasi mereka. Suaram juga mendesak kerajaan agar segera memansuhkan Akta Universiti dan
Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain akta yang
menindas para mahasiswa dan masyarakat serta
kembalikan hak asasi mahasiswa.


MANSUHKAN AUKU DAN KEMBALIKAN HAK ASASI MAHASISWA!!!


Isu selanjutnya – Isu Semasa

 

Oleh:

Shaifulizan b. Shaharuddin
Penyelaras SUARAM

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved