StatTrack
free web hosting | free hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Mahasiswa menjunjung Peradaban Gerakan


Di akhir coretan saya pada keluaran lalu, saya ada
menyatakan mengenai penghasilan kualiti peradaban.
Kali ini sebagai menyambung semula tulisan lalu, saya
tertarik untuk mengolah kembali kualiti peradaban dari
sudut rohaniah. Kita tahu kekuatan diri kita bermula
dari kekuatan dalaman. Lemah iman, goncang pendirian
maka goyahlah langkah perjuangan. Apa yang pasti,
menjunjung peradaban gerakan tidak akan terhasil
seandainya kekuatan rohaniah ini kita abaikan.

Antara strategi yang terancang terhadap faktor-faktor
pembina agar usaha ini dapat direalisasikan ialah
dengan kemasnya tarbiyah rohaniah dalam membentuk
seorang insan. Sebab itu ingin saya tegaskan bahawa
amanah menjunjung peradaban gerakan bukan suatu
perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Bukan dengan seorang dua, malah memerlukan kebersamaan semua bagi memastikan peradaban gerakan yang dibawa oleh mahasiswa ini terjunjung dengan sebaiknya.

Memetik kata-kata Saudara Mustafa Kamil Ayub dalam
bukunya 'Menangani Cabaran' Katanya, "Pemantapan masa depan perjuangan memerlukan beberapa perkara penting, antaranya kesinambungan perjuangan, memperhebatkan dakwah, memperkemaskan tarbiyah, kewibawaan kepimpinan dan organisasi serta adanya binaan hubungan dan perpaduan sejagat." Apa yang menariknya, salah satu elemen dalam pemantapan masa depan perjuangan ialah memperhebatkan dakwah dan memperkemaskan tarbiyah. Ini
menunjukkan bahawa aspek rohaniah itu penting dalam
usaha kita membina kecemerlangan, membina kewibawaan seterusnya membina peradaban yang akhirnya mampu membawa perubahan yang diharapkan.

Sidang pembaca budiman,

Dalam melihat masa depan kerangka besar perjuangan
Mahasiswa Islam khususnya dan PMRAM amnya, saya
melihat betapa kesungguhan untuk meneliti akan
keberkesanan program tarbiyah dalam membentuk generasi rabbani amat penting sebenarnya. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Imam Syahid Hassan al Banna, "generasi Rabbani adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri kaum sufi; berani, tangkas, bijaksana, cerdas, berilmu, sabar dan beriman terhadap Allah SWT." Ciri-ciri inilah yang perlu ada pada mahasiswa dalam melunasi tanggungjawab peribadi, jamaei mahupun siasi. Namun perlu diingat, 'yang pipih tidak akan datang melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek'

Ciri-ciri Rabbani perlukan latihan dan tarbiyah.
Justeru, kita harus sedar dengan perubahan masa yang
melibatkan banyak perubahan suasana. Perubahan masa juga mengajak kita agar mempertingkatkan lagi usaha tarbiyah. Kita melihat dalam suasana hari ini
memerlukan benteng kekuatan dalaman yang kukuh agar tidak hanyut di dalam cabaran-cabaran budaya yang penuh dengan tipu helah, juga cabaran zionis,
kapitalis dan agama lain. Dalam masa yang sama, kita
juga perlu mempersiapkan diri dengan kepakaran dan
bersedia membina peradaban ummah. Ini adalah satu
agenda penting dalam melahirkan kader-kader yang
matang, dae'i yang berwibawa sekaligus melahirkan
ilmuan yang kompeten.

Kita perlu tahu bahawa tarbiyah rohaniah ini, jika
disaring dengan penuh teliti, dilatih dengan penuh
displin kendiri dan dilaksanakan dengan didikasi,
pasti akan melahirkan generasi yang berkualiti yang
mempunyai ciri-ciri unggul, tekun, berhemah tinggi,
optimis dan mampu diteladani. Seandainya mahasiswa
Islam mempunyai ciri-ciri ini, diadun pula dengan
semangat amal jama'ei yang berintikan taah
(kepatuhan), taa'wun (kerjasama), tanasuh
(nasihat-menasihati) dan syura, maka ia akan
mewujudkan wahdatul fikr, wahdatul amal dan
keharmonian berjamaah. Konsep inilah yang seolah
hilang dalam genggaman umat Islam hari ini. Justeru,
mampukah kita menjadi wadah utama menggiatkan kembali konsep ini?

Sahabat-sahabat yang dihormati sekalian,

Dalam memperkatakan tarbiyah rohaniah ini, suka saya
untuk berkongsi pendapat tentang beberapa perkara yang perlu kita laksanakan dalam usaha mendidik diri,
memperteguhkan iman di hati seterusnya membina
keyakinan diri dalam usaha mendaulatkan agama Allah
yang suci ini. Di dalam kitab Al Wafi karangan Imam
Nawawi menyatakan bahawa ada tiga elemen utama untuk mendidik jiwa yang boleh kita amalkan bersama;

1. Melaksanakan amal fardu.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT telah
berfirman, "Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardukan kepadanya."

Diriwayatkan daripada Umar Abd Aziz pernah berkata
dalam satu khutbahnya: "Ibadah yang paling afdal ialah
menunaikan yang fardu dan menjauhkan yang haram. Ini kerana Allah SWT memfardukan perkara tersebut kepada hamba-Nya untuk mendekatkan mereka kepada-Nya dan mendapatkan keredhaan serta rahmat-Nya. Kefarduan jasmani yang paling besar yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah solat. Di antara perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT juga ialah keadilan seorang pemimpin, sama ada pemimpin masyarakat mahupun pemimpin keluarga."

2. Meninggalkan maksiat.

Allah SWT juga memfardukan kepada hamba Nya agar
meninggalkan maksiat. Sesiapa yang melanggar batas
sempadan-Nya dan melakukan maksiat, maka dia layak
mendapat siksa yang pedih di dunia dan di akhirat.
Perlu kita ingat kefarduan meninggalkan maksiat adalah
lebih utama daripada kefarduan melaksanakan ketaatan.

3. Mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Taqarrub dan kecintaan kepada Allah tidak akan
diperolehi kecuali setelah melaksanakan perkara fardu
dan berusaha melakukan perkara sunat serta menahan
diri dari melakukan perkara maksiat. Jika amalan ini
dapat kita laksanakan maka layaklah seseorang hamba
itu mendapat kecintaan Allah SWT. Perlu kita ingat,
dalam kesibukan kita melaksanakan tugas selaku pejuang agama Allah, kita juga perlu melaksanakan
perkara-perkara sunat dalam ibadah kerana ianya
menjadi benteng kepada perkara fardu yang kita
laksanakan.

Sidang pembaca yang budiman.

Sebagai kesimpulannya, tiga perkara yang dinyatakan di
atas walaupun seperti perkara kecil namun ia
menunjukkan betapa pentingnya tarbiyah rohiyyah dalam mendidik diri. Taqarrub kepada Allah SWT adalah amat penting apatah lagi kita selaku mahasiswa yang
mendalami ilmu agama seterusnya golongan yang
dijanakan untuk 'Menjunjung Peradaban Gerakan,'
tentulah perkara ini perlu kita titikberatkan.

Justeru itu, bagi menggerakkan suatu kebangkitan di
kalangan mahasiswa, pembinaan peribadi muslim itu
adalah suatu persediaan yang mesti kepada setiap
individu. Kita perlu membina peribadi agar mengikut
jalan yang diredhai Allah SWT serta dengan niat yang
tulus ikhlas. Tuntasnya dalam membangunkan peradaban yang besar ianya tidak akan mampu digerakkan atau dipikul oleh manusia yang rendah peribadi atau akhlaknya dan tiada keazaman atau tekad yang kuat. Maka pembinaan intelektual, jasmani dan rohani perlulah seimbang seandainya kita mahu melihat dan menyaksikan bahawa kita adalah mahasiswa yang
"Menjunjung Peradaban Gerakan."

Terakhirnya dari saya, moga sumbangan idea yang tak
seberapa ini terhadap peranan dan halatuju kita selaku
mahasiswa dapat dimanfaati bersama. Saya beranggapan, dengan asas pemikiran dan budaya ilmu yang kukuh, berakhlak mulia, kecintaan yang tinggi terhadap Islam, kita selaku mahasiswa Islam sebenarnya berperanan dan bertanggungjawab untukmengembalikan maruah ummah,
mempertahankan identiti Islam dari generasi ke
generasi dan bersedia menggiatkan kembali Islamisasi
yang selama ini ditindas oleh Barat sebagai jelmaan
yang hakiki dalam kehidupan. Kita juga hendaklah
bersedia memberi sumbangan untuk mempraktikalkan Islam dalam bentuk yang nyata dengan maksud membina kembali kegemilangan umat Islam dalam sejarah dan ketamadunan yang lalu. Pertahankanlah wibawa ilmu, jelmakan melalui tingkahlaku dan jadilah seri teladan sepanjang waktu.

Mohon maaf di atas segala kesilapan sepanjang saya
memegang amanah selaku Ketua Pengarang WARTA. Segala yangbaik itu adalah dari Allah SWT dan yang lemah itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri.

Moga arena penulisan ini akan terus gemerlap menyinari medan dakwah di persada Nil ini. Sejarah kegemilangan penulisan Islam perlu dikaji. Jangan esok belum tiba, semalam telah dilupakan. Salam hormat dari saya. Kemaafan menjunjung diri. Terima kasih memayung budi.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

Zairol Al adib

Ketua Pengarang Warta

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved