StatTrack
free web hosting | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

MPP Sudah Tidak Relevan?


Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Demikian antara ibarat warisan pusaka bangsa yang
dengan jelas melukiskan hakikat kehidupan. Maksudnya
jika kita sudah dapat yang lebih baik, yang lama
tentunya sekadar menjadi barang buangan tidak lagi
dihargai.

Majlis Perwakilan Pelajar umpama kabinet negara.
Ahli-ahlinya terdiri daripada pelajar yang memenangi
pilihanraya kampus. Berbeza dengan pilihanraya
`negara’, pilihanraya kampus menawarkan cabaran
sebenar kepimpinan pilihan rakyat. Pelajar perlu
menyediakan diri mereka untuk bertanding, menggerakkan jentera pilihanraya, mencari sumber kewangan dan menguruskan kempen. Ujian kebijaksanaan dari segi kepimpinan dan strategi begitu menyerlah sehinggakan mereka yang berjaya dengan cemerlang dalam pilihanraya kampus ini seringkali menjadi pilihan sayap pemuda parti politik jika tidak pun direkrut oleh puak-puak politik tertentu.

Ringkasnya, pilihanraya kampus memiliki kelebihannya
yang tersendiri yang dapat membantu individu atau
satu-satu pasukan kepimpinan pelajar itu memahami
erti, tugas dan fungsi pilihanraya.

Bagaimanapun, dekad ini menyaksikan pelajar yang
bertanding dibayangi tajaan pihak tertentu yang
menyediakan bantuan bimbingan, perkaderan dan kewangan termasuk khidmat nasihat yang akhirnya mencorakkan dunia kepimpinan pelajar mengikut kehendak mereka. Apabila perkara ini menjadi kenyataan, elit kepimpinan pelajar tidak ubah seperti tangan dan kaki penaja mereka tidak kira sama ada ianya pembangkan mahupun kerajaan. Yang penting kebebasan dan ruang meneroka erti pilihanraya dengan kemampuan mahasiswa telah tergugat. Ianya kini menjadi pentas menguji tindakan kerajaan dan menguji-latih barisan pemimpin muda parti politik . Dalam bahasa yang lebih lacur, pilihanraya kampus telah diperkosa dan perkosaan itu dipertontonkan seolah-olah satu pesta keramaian yang sah dan halal dari segi undang-undang dan syarak.

Jika inilah kesudahannya, apa untungnya kepada para
pelajar ?

Para pelajar kononnya atas dasar belajar dan
memperkaya pengalaman menyertai pilihanraya kampus. Di samping itu, motif yang menjadi daya penggerak terbesar mereka adalah untuk muncul sebagai calon-calon senarai pendek bagi barisan PEMUDA baik pembangkang mahupun kerajaan.

Apabila motif politik bersulamkan kepentingan diri
(ada pihak mendakwa demi kepentingan jemaah), ini
diutamakan, niat asal agar ianya disertai atas dasar
ilmu bukan sahaja terpinggir malah digugurkan langsung dari perkiraan.

Inilah yang menjadi rangsangan utama idea
menghapuskan MPP terus dari dunia kampus. Niat
asalnya adalah untuk memelihara ilmu serta
menghapuskan pentas yang menjadi kini menjadi alat
kepada nafsu politik.

Ianya selari dengan seruan kerajaan yang mahukan para pelajar menumpukan perhatian terhadap usaha menguasai kemahiran dan ilmu. Saya tidak nampak bagaimana pula ianya boleh dianggap merugikan.

Jika MPP dihapuskan, para pelajar masih boleh bergiat
dalam dunia persatuan dan kepimpinan. Cuma pilihanraya yang ditiadakan. Selama ini, hak mengundi yang dianugerahkan kepada mahasiswa semasa mereka menjadi mahasiswa dijadikan alasan dan lesen untuk bergiat dalam lapangan politik. Bagi membunuh kemungkinan ini dari terus disu burkan oleh pihak yang berkepentingan, mengapa tidak dihapuskan sahaja ?

Perlu diingat bahawa jika gerakan politik seperti
PAS, JIM, ABIM, UMNO KEADILAN dan sebagainya ingin menyusup masuk ke dalam kampus, mereka masih boleh melakukannya.Mereka masih boleh melakukannya melalui para pensyarah dan persatuan pelajar lainnya.

Kesimpulannya, MPP wajar dihapuskan atas alasan ianya tidak lagi mendukung citra pembangunan ilmu dan
sahsiah mahasiswa dalam ertikata sejagat. Namun jika
tindakan itu dilakukan sekadar untuk membendung
pengaruh luar yang bersarang didalamnya maka
tindakan itu sama seperti yang disifatkan oleh
peribahasa lama marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Marahkan parti politik MPP dimusnahkan. Yang rugi
pelajar dan masa depan negara.

Tidak ada jaminan bahawa campur tangan luar ini tidak
mungkin dapat menyusup masuk ke dalam kampus melalui kaedah lain seperti pensyarah, kolej, persatuan lain mahupun secara individu iaitu pelajar itu sdendiri,
pengetua kolej, pensyarah, Timbalan Naib Canselor
mahupun Naib Canselor sendiri.

Disinilah kewarasan bertindak amat dituntut. Jangan
hanya pentingkan penyelesaian jangka pendek. Selama
ini demi menyelesaikan masalah di depan mata,
pelbagai akta dipinda . Kewujudan akta tersebut
kemudiannya menggadai maruah bangsa bertahun-tahun di masa akan datang sehingga ada pemimpin yang berani mengubahnya semula ke arah yang lebih bermaruah, demi kepentingan sejagat.


Isu selanjutnya – Isu Semasa

 

Oleh:

AkuLaSiswa

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved