StatTrack
free web hosting | website hosting | Business WebSite Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    Monday, January 07, 2002

Pemecatan Dasuki: Sidek Saba ada Agenda?


Isu pemecatan Sdra. Dasuki Abdul Wahab - Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar UIA 2002 berjaya menarik
minat umum dan menampakkan ianya sebagai hasil tekanan pihak tertentu terhadap pihak Timbalan Naib Canselor hal Ehwal pelajar iaitu Dr. Sidek Baba.

Ini adalah kerana kronologi pemecatan berkenaan -
yang kini saya lihat sebagai disengajakan untuk
menimbulkan keraguan terhadap sah atau tidaknya
pemecatan tersebut, malah mencabar tindakan pemecatan itu sendiri yang menurut pihak tertentu sengaja dilambat-lambatkan.

Isu sebenar ialah ;

1. Apakah Sdra Dasuki melanggar AUKU atau tidak ?
2. Jika sah beliau melanggar adakah hukuman berupa
pemecatannya dari jawatan Presiden selepas memenangi pilihanraya kampus wajar atau tidak ?
3. Soalan yang timbul selepas itu ialah apakah
pemecatan beliau dilaksanakan mengikut prosedur atau
tidak ?


Apakah Sdra Dasuki melanggar AUKU atau tidak ?

Adalah jelas - Sdra. Dasuki telah mengeluarkan
kenyataan berbau politik walaupun Dasuki mendakwa
ianya disiarkan tanpa pengetahuan beliau - hakikat
bahawa beliau telah diwawancara telah disahkan. Untuk
makluman semua, bila seseorang itu diwawancara maka sudah pastilah ianya akan disiarkan melainkan apa-apa yang telah dipersetujui bersama di peringkat awal sebagai bukan sebahagian dari wawancara. Wartawan bebas untuk mematuhi perjanjian lisan berkenaan atau pun melanggarnya dan ianya sepenuhnya terpikul atas bahu wartawan berkenaan.

Dalam pembelaannya, Dasuki sedikit pun tidak menafikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan. Disamping itu kenyataan bahawa beliau tidak membuat penafian atau teguran di media terhadap siaran wawancara beliau yang mengandungi kenyataan yang dipersoalkan menunjukkan bahawa beliau sebenarnya bersetuju ianya disiarkan.

Maka dengan itu, adalah jelas tanpa sebarang keraguan, Sdra dasuki telah melanggar AUKU dengan membuat kenyataan berbau politik. Adakah hukuman berupa pemecatannya dari jawatan Presiden selepas memenangi pilihanraya kampus wajar?

Hukuman hanya boleh dilaksanakan selepas hukuman
dijatuhkan. Dalam hal ini, hukuman pecat Dasuki
dijatuhkan pada 27 Disember 2001 iaitu selepas
kabinet MPP dibentuk dan beliau dipilih sebagai
Presiden.

Inilah sebabnya mengapa perlaksanaan hukuman
(pemecatan Dasuki) hanya dapat dilakukan selepas
Dasuki menjadi Presiden.

Malah adalah jelas pihak yang menjatuhkan hukuman
telah mengambilkira kedudukan Dasuki sebagai Presiden ketika menjatuhkan hukuman.

Persoalan yang timbul ialah apakah agaknya hukuman
yang akan diambil pihak berkenaan sekiranya Dasuki
tewas dalam pilihanraya kampus ?

Jika Dasuki hanyalah seorang pelajar biasa - bukan
pemimpin pelajar apakah pilihan hukuman yang ada ?

Biasanya dalam kes seperti ini, pihak universiti hanya
dihadapkan dengan dua pilihan iaitu gantung pengajian
dan pecat atau buang dari universiti. Kes penglibatan
pelajar dalam pilihanraya Lunas boleh dirujuk. Tetapi
pihak TNC HEP hanya menunggu sehingga Dasuki menang pilihanraya dan membentuk kabinet seterusnya berjaya menjadi Presiden sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengapa ?

Apakah pemecatan beliau dilaksanakan mengikut prosedur?

Menurut risalah Kronologi Pemecatan Presiden MPP UIAM yang diterbitkan oleh penerbit hantu, proses pemecatan Dasuki menimbulkan banyak keraguan antaranya ialah :

1. Tidak mengikut prosedur undang-undang

Hukuman daripada (ditandatangani) oleh Suruhanjaya
Pilihanraya Umum Kampus untuk memecat Dasuki pada 27 Disember tiada kaitan dengan urusan pilihanraya - sepatutnya ianya datang daripada Lembaga Disiplin.

2. Bidang kuasa yang menangani kes ini

Siapakah yang berhak memutuskan hukuman pemecatan Dasuki - Suruhanjaya Pilihanraya Umum atau Lembaga Disiplin atau Hal Ehwal Pelajar ?

Surat pemecatan ditandatangni oleh En. Abu Bakar Sidek dari Suruhanjaya Pilihanraya Kampus. Sepatutnya surat ditandatangi oleh Rektor atau Timbalan Rektor (Jadual 4 no. 3 Perlembagaan MPP)

3. Satu kes, dua hukuman

Isu ini melibatkan satu kes iaitu mengeluarkan
kenyataan berbau politik namun terdapat dua hukuman
yang berbeza pada dua masa yang berbeza. Hukuman
pertama ialah denda RM 100 dan amaran keras oleh
Lembaga Disiplin pada 11 Disember 2001.

Berlaku perbicaraan berulang atau double jeopardy dan
ia menyalahi prinsip undang-undang (artikel 7 (b)
Perlembagaan Persekutuan.)

Berdasarkan hujah-hujah di atas, jika kita menerima
bahawa apa yang disentuh oleh penerbit hantu ini
adalah benar, maka wujudlah keraguan dalam proses
pemecatan Dasuki.

Ini menerbitkan soalan mengapa dan bagaimana keraguan proses pemecatan boleh timbul ?

Sebagai sebuah universiti yang menawarkan pengajian
undang-undang, adalah sukar untuk mempercayai ianya
berlaku secara tidak sengaja. Tambahan pula, Dr. Sidek
Baba yang memegang jawatan sebagai Timbalan Naib
Canselor Hal Ehwal Pelajar diakui seorang yang
bijaksana. Apakah mungkin Sidek Baba cuai ?

Siasatan saya mendapati bahawa Dasuki Abdul Wahab ini sebenarnya adalah kader paling disayangi oleh Sidek
Baba. Hubungan rapat mereka bukan satu rahsia di
kalangan pemimpin pelajar UIA.

Berdasarkan maklumat ini, saya merasakan Sidek Baba
dengan sengaja :

1. menimbulkan keraguan terhadap proses pemecatan
Dasuki
2. manjatuhkan hukuman yang amat ringan dengan niat untuk meraih simpati kampus dan masyarakat terhadap beliau yang kononnya menghadapi tekanan dari pihak tertentu dalam kerajaan.

Apakah agenda sebenar beliau ? Saya tidak tahu. Yang
jelas, walau apa-pun ia, pelajar IPTA khasnya UIA
memainkan peranan penting.

Saya memohon satu siasatan menyeluruh diadakan bagi menyiasat dakwaan Sidek Baba menyalah gunakan kuasa dan menggunakan pelajar untuk populariti dan kepentingan politik dirinya. Jika sabit kesalahan, saya mohon beliau dijatuhkan hukuman setegas mungkin termasuk dipecat dari UIA dan perkhidmatan awam seluruhnya sebagai pengajaran terhadap semua bahawa institusi pendidikan bukan tempsatnya untuk berpolitik apatah lagi menjadikan pelajar sebagai alat dan kuda tunggangan kepentingan peribadi mahupun kepentingan politik kumpulan tertentu.


Isu selanjutnya Isu Semasa

 

Oleh:

Pemerhati

Kampus

 

 

Copyright 2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved