StatTrack
free web hosting | free website | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
Free Domain Name with Hosting from Network Solutions®!
  
   
 
IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

Siswa: Sejauh Mana Bertahan?


(analisa ini ditulis beberapa bulan sebelum pilihan
raya umum November, 1999 dan pernah diterbitkan dalam majalah "Detik," kini diharamkan)

Bangkitnya siswa dalam krisis politik terkini tidaklah
ganjil, khususnya sayap PKPIM kerana sememangnya Anwar mempunyai pengaruh dalam organisasi ini, begitu juga badan-badan siswa Islam yang lain, seperti di bawah pengaruh PAS, JIM atau ABIM. Kumpulan pelajar Islam ini dan sedikit siswa bukan Melayu memang sentiasa berkubu di kampus.

Tetapi sejauh mana "kebangkitan" ini dapat bertahan?
Jika mereka mahu bertahan atau malah memperkembangkan pengaruhnya, apakah resipi yang sewajarnya?

Ketika Anwar mula menyertai Umno dan ketika kemuncak namanya dalam parti itu, gerakan pelajar Islam masih terus bernyawa, kecuali barangkali gerakan pelajar ala ABIM atau PKPIM, tetapi tidaklah begitu keras seperti pertembungan dengan kumpulan nasionalis atau GPMS.

Oleh itu, apabila Anwar dihadapkan dengan tekanan yang hebat itu, tenaga yang tersembunyi itu pun bangkit, dengan pengaruh yang lebih besar. Persoalannya, sepanjang Anwar di dalam Umno, tenaga pelajar Islam itu tidaklah melebar, malah boleh dikatakan "tersudut" dalam kepompong mereka sendiri.

Tetapi peristiwa reformasi ekoran pemecatan Anwar itu
-tentunya dipengaruhi mood politik di luar kampus -
menggamit hampir semua jenis kelompok pelajar dan gaya hidup untuk turut serta, setidak-tidaknya sebagai
pemerhati aktif.

Senario politik kampus yang setinggi ini tidak wujud
sepanjang pembabitan Anwar di dalam Umno. Memandangkan selepas peristiwa Anwar diikuti pula satu suasana kempen pilihan raya yang pendek, mood itu dapatlah dipertahankan, tetapi untuk tempoh yang berikutnya, katakan tiga hingga lima tahun akan datang, bagaimana jenis pergerakan ini dapat dipertahankan di kampus? Bagaimana pula perkembangan di luar kampus?

Keadaan di kampus selalunya lebih rumit untuk
memantapkan gerakan kesedaran politik ini kerana
beberapa faktor tetapi semuanya berkisar pada
kepimpinan individu atau "batch".

Maksud saya, kesinambungan keberkesanan kepimpinan kampus sukar direalisasikan. Apabila seseorang tokoh atau batch itu pergi, kualitinya sukar dipertahankan. Apatah lagi, untuk menarik majoriti siswa agar turut serta secara aktif sebagaimana wujud dalam tempoh 5 hingga 11 bulan lalu.

Malah, pada masa kini pun, siswa sudah mulai "takut"
untuk bergerak lebih ke depan - misalnya menyertai
atau mengorganisasi protes aman (tidak mestinya
demonstrasi). Dan jika dibiarkan berlarutan, maka
mereka back to square one - bersikap separuh sedar dan malah tidak endah apa-apa!

Jerat itu sentiasa menunggu siswa kita. Pertama,
halangan AUKU itu sendiri, apatah lagi dalam suasana
akademia yang lebih buruk dari tahun-tahun sebelumnya. Malah, ketika siswa kita bangkit dalam tempoh lima hingga 11 bulan lalu, akademia kita berada di tahap paling daif dalam sejarah kampus di negara ini! Di sini, keberanian siswa kita sungguh mengkagumkan.

Kedua, senario pengkorporatan universiti yang juga
tersirat di sebaliknya usaha melembikkan aktivisme
sukarela kampus, khususnya dalam harapan mencari
kerjaya yang selesa, pencapaian material di luar
kampus, apatah lagi jika ekonomi negara terus melonjak
semula selepas ini. Saya sempat berbincang panjang hal ini di awal-awal usaha pengkorporatan IPTA. Nyata
sekali, kebimbangan pemimpin siswa itu berjejak di
bumi nyata.

Ketiga, akibat dua faktor pendorong di atas, halangan
yang datang dari ibu bapa sendiri. Ya, ibubapa yang
menyokong parti-parti alternatif sendiri pun akan
mengingatkan anak-anak mereka agar "berhati-hati di
kampus" atau merangsang siswa menangguhkan semangat itu selepas tamat pengajian. Apatah lagi jika ibubapa itu beralasankan kemampuan rezekinya yang daif di celah-celah yuran korporat IPTA dan yuran IPTS yang menggila tingginya!

Dan inilah yang paling berkesan menarik anak-anak muda kita agar jangan campuri urusan politik di kampus.
Ironisnya, siswa menentang AUKU tetapi "musuh
perjuangannya" bukan datang dari Dewan Rakyat atau
mahligai di Putrajaya tetapi dari rumahnya sendiri di
kampung.

Ugutan sang menteri, malah Bukit Aman sekali pun,
masih boleh disanggah, tetapi sepatah pesan ibubapa
sungguh berkesan membekukan semula kampus kita.
Trisakti yang menumbangkan Suharto ibarat jauh
panggang dari api.

Tiga faktor ini diburukkan lagi oleh pemimpin-pemimpin
siswa Islam yang gemar menyendiri dalam kepompong
kelompok atau gagal menghangatkan idealisme majoriti
kampus.

Ya, itulah yang saya sendiri saksikan seperti mana
ketika Anwar di dalam Umno. Hanya ada satu faktor
sahaja yang boleh mencerahkan harapan siswa -
pergolakan politik yang meluas di luar kampus seperti
tempoh 5 hingga 11 bulan lalu.

Itu pun, nampaknya tidak kesampaian kalau mereka yang ketagih politik suka berkongsi sembang politik sekadar dalam kelompok parti mereka. Ya, kecenderungan ke arah itu sudah pun terbentang.

Fathi Aris Omar merupakan bekas aktivis pelajar
1983-1991, mulai di Sekolah Menengah Sains Sultan
Mahmud, Kuala Terengganu dan kini bertugas sebagai
Pengarang Berita, di akhbar web Malaysiakini.Com


Isu selanjutnya – Isu Semasa

 

Oleh:

Fathi Aris Omar

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved